Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Dana HRDF diguna beli hartanah, beri bonus
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 12:46 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Sebahagian besar wang Tabung Pembangunan Sumber Manusia dialihkan untuk digunakan bagi kepentingan individu tertentu, dedah Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran hari ini.

Mengulas laporan Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus HRDF (GOC) di Kuala Lumpur, Kulasegaran berkata wang berkenaan digunakan untuk membeli hartanah, membayar gaji dan bonus besar kepada kakitangannya yang terpilih.

Beliau berkata beberapa ahli lembaga pengarah terdahulu juga tidak mendedahkan kepentingan peribadi mereka kepada lembaga pengarah.

“Kami akan memulakan prosiding sivil dan jenayah terhadap sesetengah daripada mereka,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan HRDF Town Hall di Pusat Konvensyen HGH di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri itu berkata kementeriannya juga akan menerima cadangan GOC menghentikan pengurangan 30 peratus levi daripada majikan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia.

“Pembayaran terakhir akan berkuatkuasa 15 November dan sumbangan akhir levi pada bulan Oktober,” kata Kulasegaran.

Beliau berkata GOC telah menekankan kekurangan ketelusan dalam penggunaan levi yang dikumpulkan.

Laporan itu juga menyatakan perlunya prosedur lebih ketat, penubuhan jawatankuasa program lembaga untuk mengkaji semula program latihan sedia ada, menyemak semula had kuasa ketua eksekutif dan pindaan kepada Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001.

Laporan itu diikuti dengan mesyuarat townhall dengan persatuan majikan dan majikan berdaftar.

GOC diketuai oleh bekas Ketua Pengarah MITI Rebecca Fatima Sta Maria, bekas Pengarah Ernst & Young Fiona Soh, peguam Fahri Azzat, Akauntan S Dhamodaran dan bekas wartawan R Nadeswaran.


Lihat Komen
ADS