Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida gesa JPP dedah 'log file' tablet didakwa diceroboh
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 9:15 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menggesa jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) mendedahkan senarai daftar (log file) tablet yang didakwa "diceroboh" perisian yang dipanggil Prey pada pemilihan di Julau, semalam.

"Saya menyeru (Pengerusi JPP) Rashid Din dan JPP untuk mendedahkan maklumat ini secepat mungkin, bagi menutup ruang spekulasi dan tuduhan yang sedang berlaku sekarang.

"Dedahkan siapa yang memuat turun aplikasi Prey tersebut dan siapakah yang telah mengakses tablet untuk tujuan itu. Semua ini terdapat di dalam Log File tablet tersebut," katanya dalam kenyataan media semalam.

Kenyataan itu dibuat selepas pemilihan PKR Julau digantung susulan dakwaan calon timbalan presiden Rafizi Ramli mendakwa melihat seseorang "mengusik" tablet ketika proses pengundian.

Rafizi mendakwa perisian bernama 'Prey' dipasang pada tablet dan membolehkan ia dikawal dari jauh.

Bagaimanapun, penulis teknologi Keith Rozario menjelaskan aplikasi Prey yang ditemui di tablet itu, yang dinyatakan Rafizi sebagai 'malware', adalah perisian anti-kecurian.

Dalam kenyataannya, Zuraida turut merujuk kenyataan Rashid yang menyatakan sistem tablet itu "diceroboh".

Jelas Zuraida, sekiranya perkara itu berlaku, ia terjadi atas pengetahuan petugas JPP kerana hanya mereka mempunyai akses kepada sistem tersebut.

"Untuk memuat turun aplikasi Prey, penjaga atau administrator kepada tablet e-voting itu, harus memasukkan kata laluan. Bukan semua orang boleh melakukan perkara ini.

"JPP pula perlu mengambil sepenuh tanggungjawab, kerana akses terhadap tablet ini dipegang oleh mereka. Adalah mudah untuk dicari pelakunya dan JPP perlu mendedahkannya," katanya.

Beliau turut mengulangi penjelasan bahawa aplikasi Prey adalah untuk melindungi maklumat di dalam peranti mudah alih sekiranya peranti tersebut hilang atau dicuri.

"Ia adalah aplikasi melindungi dan bukannya untuk mengambil data, sepertimana yang dinyatakan oleh Rashid," katanya.

 

Lihat Komen
ADS