Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin ada penyusup nak rosakkan PKR, kata Wan Azizah

PEMILIHAN PKR | Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ada kemungkinan kekecohan yang melanda proses pemilihan PKR didalangi pihak tertentu yang menyusup masuk ke parti berkenaan.

Kata presiden PKR itu pihaknya memang berdepan dengan pelbagai isu disebabkan perkembangan parti dan pertambahan bilangan anggotanya.

Dalam keadaan begitu katanya tidak mustahil ada pihak yang sengaja dihantar bagi menjejaskan PKR

"Kita tak boleh nafikan mungkin ada infiltrator (penyusup) dari mana-mana yang datang dan merosakkan parti," katanya kepada media hari ini.

Wan Azizah ditemui selepas majlis penutup Hari Puteri anjuran Pergerakan Puteri Islam Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur.

Proses pemilihan PKR kali ini dicemari pelbagai tuduhan dan insiden, termasuk pergaduhan serta serangan secara fizikal.

Ia menjadi lebih kecoh dengan dakwaan wujudnya cubaan mensabotaj melalui perisian hasad yang dimasukkan ke alat yang digunakan untuk mengundi di Julau, Sarawak semalam.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan sangat sengit bagi jawatan timbalan presiden, melibatkan penyandang Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli.

Wan Azizah semasa menghadiri sambutan Hari Puteri di Cheras hari ini.

Wan Azizah berkata PKR menyerahkan isu berkenaan untuk ditangani Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang diberi amanah untuk mengendalikan proses pengundian.


Baca Rafizi: Saya hampir menang di Julau


Mengenai dakwaan wujud "serangan siber" Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri menjelaskan JPP perlu menyiasat kes berkenaan.

Katanya pihak terbabit perlu mencari apakah punca dakwaan berkenaan timbul dan melihat kemungkinan ada pihak tertentu sengaja membuat "kepincangan".

"Saya mahu JPP siasat dan cari apakah puncanya, apakah ada mana-mana (pihak) yang membuatkan apa-apa kepincangan.

"Sepatutnya (isu ini) kita tangani sebab parti kita telah berkembang," katanya.

Beliau menambah JPP diberikan kepercayaan bagi menangani kemelut terbabit secara adil.

Lihat Komen
ADS