Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman mati bagi kes tertentu patut kekal - Ramkarpal
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 8:52 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Anggota Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh menggesa kerajaan mengekalkan hukuman mati bagi "kes-kes tertentu."

Menurutnya, kes ini termasuklah pembunuhan kejam terbaru melibatkan kes rogol dan bunuh bayi berusia sembilan bulan serta satu lagi kes dera kanak-kanak melibatkan mangsa yang berusia tiga tahun, dengan syarat bukti dan keterangan melampaui keraguan yang munasabah.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Ramkarpal berkata beliau selalu menyokong pemansuhan hukuman mati, namun kes sebegini membangkitkan keperluan budi bicara mahkamah mengenakan hukuman mati terhadap "kes jenayah yang cukup kejam itu."

"Dalam senario sedemikian, mahkamah akan dapat mempertimbangkan setiap kes berdasarkan fakta dan keadaannya, dan jika keadaan itu membenarkannya, maka hukuman mati dikenakan dalam kes yang sesuai.

"Budi bicara demikian juga akan membenarkan mahkamah mempertimbangkan faktor-faktor mitigasi yang dapat membolehkan seseorang yang dituduh membebaskan dirinya dari hukuman mati.

"Tidak syak lagi ia bukan satu tugas yang mudah, tetapi pada masa yang sama, pembunuhan yang mengerikan itu tidak boleh, atau dilihat terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.

Isyarat salah, jenayah tak cukup serius

Pengerusi biro undang-undang DAP itu juga berkata keluarga korban pembunuhan khawatir pemansuhan hukuman mati akan mengirimkan isyarat yang salah bahawa jenayah yang dilakukan tidak cukup serius.

"Kita tidak boleh mengabaikan kebimbangan itu," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata pada bulan Oktober bahawa kerajaan komited memansuhkan hukuman mati dan akan mengenakan moratorium (penangguhan) terhadap semua hukuman mati.

Sebaik sahaja moratorium itu dilaksanakan, pesalah yang menunggu hukuman mati akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya melalui pemenjaraan selama 30 tahun.

Pada masa ini terdapat seramai 1,267 banduan hukuman mati dan terdapat sekitar 900 orang daripada jumlah itu yang disabitkan kesalahan berkaitan dadah.

Keluarga korban beberapa kes pembunuhan kejam telah mengadakan sidang akhbar pada 9 November lalu menyuarakan bantahan terhadap pemansuhan hukuman mati, manakala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pandangan mereka akan dipertimbangkan.

Lihat Komen
ADS