Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketum: Orang utara mungkin terkilan, kata Muhyiddin

Jawatankuasa Bertindak Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang hari ini memutuskan untuk membawa cadangan mengharamkan penanaman ketum di negara ini ke jawatankuasa kabinet akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata cadangan tersebut dibuat sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelak penggunaan secara berleluasa tanaman tersebut.

“Kita berbincang panjang lebar dan kita nak cadangkan kepada jawatankuasa kabinet yang akan bersidang tidak lama lagi supaya penanaman ketum itu diharamkan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin kerajaan perlu mengambil langkah awal untuk mengelak kegiatan menanam dan mengambil ketum berlaku secara berleluasa.

Katanya jika terlewat langkah untuk mengawal atau mencegah pengambilan ketum akan lebih sukar, terutama apabila ia diproses dan bahan berkenaan boleh membahayakan.

Menurut beliau, jika tindakan hanya akan diambil selepas ketum diproses sehingga menjadi bahan yang tertakluk di bawah Akta Racun Berbahaya ia adalah terlewat.

Namun Muhyiddin mengakui akan ada rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah orang, terutama di negeri utara semenanjung.

Thai sudah haramkan

“Saya tahulah, sesetengah orang di utara mungkin rasa terkilan sikit," katanya.

Justeru kata Muhyiddin pada pandangan Jawatankuasa Bertindak Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang wajar cadangan mengharamkan penanaman ketum dicadangkan kepada kabinet.

“Ia belum diputuskan dan kami cadangkan supaya ia diputuskan,” katanya.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Pagoh itu berkata mesyuarat yang dipengerusikan beliau hari ini mencadangkan pengharaman ketum kerana ada bahan itu dieksport ke Thailand, sedangkan negara itu sudah mengharamkannya.

“Ada bermacam-macam takrifan (kegunaan ketum) atau pun pihak tertentu yang sudah agak (biasa) gunakan ketum (bagi tujuan perubatan) tetapi kami berpendapat tanaman ketum ini tidak terkawal.

"Sebabkan itu ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan ada kes Malaysia jadi pengeksport kepada Thailand.

“Sedangkan Thailand sudah haramkan (ketum) kerana dia tahu kesannya, jadi janganlah alaysia pula jadi pengeksport," katanya.

Mengulas mengenai kegunaan ketum dalam penyelidikan perubatan, Muhyiddin berkata, perkara tersebut diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.

Namun beliau mengingatkan kepentingan untuk tanaman berkenaan dikawal terlebih dahulu.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk memperkenalkan rang undang-undang baru bagi menangani gelaja hidu gam yang banyak melibatkan golongan remaja dan belia negara ini.

“Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat kes penghidu gam sehingga menyebabkan khayal.

“Golongan remaja adalah bilangan paling tinggi terlibat gejala ini. Ia berlaku secara besar tetapi tidak dikategorikan sebagai dadah, hanya hidu,” katanya.

Lihat Komen
ADS