Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng nafi skim perumahan P2P babit kronisme
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 3:23 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengamalkan kronisme dalam berurusan dengan skim pembiayaan pelabur kepada pembeli (P2P) yang melibatkan pemaju pro-Pakatan Harapan.

Kebimbangan ditimbulkan selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri pelancaran program FundMyHome di Semenyih pada 4 Nov, dua hari selepas skim berkenaan diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Skim itu dicadangkan oleh firma swasta EdgeProp Sdn Bhd, yang dimiliki Tong Koi Ong, yang juga merupakan penyokong PH.

"Kerana hari pelancaran sangat hampir dengan pembentangan belanjawan ia menggambarkan ada sesuatu yang tak kena?

"Perdana menteri mempunyai banyak program. Beliau cuba hadir sebanyak mungkin program," kata Lim dalam wawancara dengan radio BFN hari ini.

Tambah Lim, perdana menteri sentiasa menegaskan bahawa Malaysia perlu menjadi negara yang mesra perniagaan.

Terdahulu, kebimbangan itu ditimbulkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan penasihat media dan komunikasi perdana menteri, A Kadir Jasin berhubung kemungkinan berlaku kronisme dalam projek berkenaan.

Tong mendakwa perkara yang dimaklumkan dalam Belanjawan 2019 bukan skim sama.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan hanya menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia bagi memiliki rumah namun terpulang kepada rakyat sendiri untuk memutuskan.

"Ini merupakan alternatif lain dan kita mahu beri rakyat pilihan.

"Sudah tentu perdana menteri berjumpa dengan pihak yang mencadangkan alternatif ini dan mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank dan institusi kewangan," katanya.

Di bawah program FundMyHome, pembeli rumah perlu menyediakan 20 peratus harga rumah selain bayaran guaman sama ada melalui wang sendiri atau pinjaman bank selama lima tahun.

Baki bayaran 80 peratus akan didanai oleh pelbagai pelabur. Pembeli rumah juga boleh menggunakan wang dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS