Paling Popular
Terkini

Salah satu daripada ciri utama mana-mana bandar raya moden ialah sistem metronya, iaitu pengangkutan rel dalam bandar raya yang melancarkan perjalanan merentasi bandar raya yang jalan-jalannya sesak.

Bagaimanapun, perancangan, pelaksanaan serta penyenggaraan sistem metro bukan sahaja mahal tetapi juga memerlukan banyak pengetahuan dan kepakaran. Ini lebih ketara apabila pelbagai sistem tren yang membentuk rangkaian metro seperti di Malaysia di mana MRT, LRT, ERL, Monorail dan tren KTMB membentuk rangkaian metro.

Kebanyakan daripada sistem metro dunia hari ini senantiasa mencari jalan untuk mengurangkan kos penyenggaraan dan memastikan gangguan perkhidmatan pada tahap minimum. Oleh itu, amalan pengurusan yang cekap, penyenggaraan dalaman yang berkesan serta pembangunan teknologi sendiri satu yang penting bagi mana-mana pengendali metro.

Walaupun sistem metro menempatkan ibu negara Malaysia Kuala Lumpur setaraf dengan bandar raya utama lain dunia, negara perlu banyak belajar untuk muncul inovatif dalam mengurus dan menyenggara sistem itu dengan cekap bagi masa depan.

Di sinilah Malaysia boleh banyak belajar daripada Seoul Metro yang mengendali dan menyenggara sistem metro di ibu negara Korea Selatan, Seoul. Tiga wakil media Bernama baru-baru ini meninjau sistem metro termasuk Depo Tren Gunja di Seoul untuk melihat operasinya serta sistem yang digunakan. Lawatan itu adalah atas jemputan Korean Culture and Information Service (KOCIS).

Seoul metro mara jauh

Seoul Metro diwujudkan pada 2017 apabila Seoul Metro Corporation (pengendali landasan 1-4) dan Seoul Metropolitan Rapid Transit Corporation (pengendali landasan 5-8) digabungkan, mewujudkan pengendali tunggal yang menetapkan satu tanda aras baharu dalam operasi metro di Korea Selatan.

Bagaimanapun, menurut Pengurus Besar Pasukan Penyelidikan Tren, Chung Hangjae, Seoul Metro bukan sekadar pengendali lazim sistem metro. Perbadanan itu menetapkan tanda aras baharu dalam operasi lancar seluruh rangkaian metro termasuk dengan menerapkan transformasi digital dan Revolusi Industri ke-4 dalam rangkaian perkhidmatannya.

Rangkaian pengangkutan penumpang itu menyediakan perkhidmatan yang cekap bagi bandar raya dengan 10 juta penumpang itu, dan bagi 15 juta lagi di kawasan pinggiran Seoul. Hampir 7.4 juta penumpang menggunakan sistem metro Seoul setiap hari, dengan landasannya sepanjang 304 kilometer merentasi bandar dan 282 stesen dalam rangkaian lingkungannya. Ia merekodkan 71.4 juta jam tempoh masa pengendalian tren setiap tahun dengan kadar ketepatan masa 99.9 peratus. Metro itu juga mempunyai rekod keselamatan yang boleh dibanggakan, satu kemalangan setiap 51,006,000 km.

Seiring dengan peralihan masa, Seoul Metro meningkatkan kemampuannya dan mencetuskan satu anjakan paradigma dalam mengendali dan menyenggara keseluruhan sistem metro, daripada tren, landasan hingga kepada kemudahan di stesen.

Semasa metro di Seoul bermula pada awal 1970-an, ia bergantung kepada tren dan teknologi dari Jepun, Britain dan Jerman. Chung berkata kini Seoul Metro mampu mewujudkan teknologinya sendiri iaitu Smart Connect Metro dengan menerapkan elemen AI (Artifical Intelligence), IOT, Cloud, and Big Data pada tren dan stesen.

Lebih menarik, Seoul Metro dapat melakukan semua ini walaupun pembiayaan terhad daripada Majlis Bandaraya Seoul. Chung menunjukkan bahawa lazimnya tren mempunyai tempoh hayat 25-30 tahun tetapi ada antara tren yang dikendalikan oleh syarikat itu berusia lebih 40 tahun dan masih diperbaharui dan dipermoden menggunakan kepakaran yang ada.

Tempoh hayat tren ini dilanjutkan dengan ketara kerana kemampuan syarikat untuk menghasilkan sendiri alat ganti keretapi, katanya.

Tanda aras baru operasi metro

Seoul Metro juga membangunkan ciri Smart Connect Train Maintenance (SCTM) di mana para juruteknik tidak perlu menunggu sehingga tren rosak untuk diperbaiki. Data operasi tren dipantau secara tepat masa dan dihantar ke platform big data di pusat kawalan untuk dianalisis. Jika timbul masalah, pasukan teknikal di pusat kawalan akan dimaklumkan secara tepat masa menerusi paparan dashboard.

Chung memberi contoh yang ia mengambil 3.5 hingga 4.5 saat bagi pintu keretapi untuk tutup dan jika berlaku kelewatan kecil pun akan dikesan oleh sistem walaupun penumpang tidak menyedarinya. Kehausan gandar juga dipantau secara tepat masa dengan memantau gentaran gandar dan apa-apa luar biasa akan muncul di skrin pusat kawalan. Teknologi ini menyumbang kepada penyenggaraan pencegahan dan mengelakkan gangguan perkhidmatan apabila berlaku kerosakan pada keretapi dalam perkhidmatan.

Eskalator, sistem pengalih udara, pendingin hawa, saliran serta sistem pemadam api di stesen tren juga dipantau secara tepat masa menerusi sistem Smart Automatic Mechanical Big Data Analysis (SAMBA). Ini membantu memastikan kesemua sistem beroperasi dengan optimum di stesen demi keselesaan dan keselamatan pengguna perkhidmatan metro.

Seoul Metro menjana pengetahuan yang luas akan keperluan operasi melalui penyelidikan dan pengalaman sehingga mempunyai kemampuan untuk menetapkan spesifikasi bagi tren untuk dibina oleh vendornya.

Menurut Chung Seoul Metro kini sedia berkongsi kepakarannya bersama pengendali metero lain di seluruh dunia termasuk Malaysia. Baru-baru ini perbadanan itu menganjurkan seminar keretapi di Malaysia, dalam usaha menyediakan pendidikan serta latihan bagi profesional rel Malaysia. Ia juga bertujuan membolehkan pertukaran kepakaran teknikal antara kedua-dua pihak.

Chung berkata pengendali perkhidmatan tren seperti KTMB boleh melanjutkan tempoh hayat aset rel miliknya dan mengurangkan kos penyenggaraan dengan menghasilkan alat ganti sendiri bagi aset yang tidak lagi dalam pengeluaran menerusi proses localisation. KTMB juga boleh belajar untuk mendigital operasi serta penyenggaraan tren dan kemudahan lain daripada Seoul Metro.

Kerjasama dengan Seoul Metro

Sementara itu, Kim Junhyung seorang jurutera Seoul Metro yang kini berada di Malaysia untuk meninjau sistem rel di negara ini berkata terdapat banyak peluang bagi pengendali rel seperti KTMB, Prasarana, ERL dan yang lain untuk bekerjasama dengan Seoul Metro.

Kerjasama itu boleh jadi dalam bentuk berkongsi pengetahuan serta mewujudkan program pembangunan dan penyelidikan untuk membangunkan sektor rel di Malaysia.

Walaupun pengendali rel Malaysia mempunyai kemampuan tersendiri dalam penyenggaraan, Junhyung percaya masih ada ruang untuk belajar dalam menghasilkan komponen keretapi melalui proses localisation, memperbaharui tren lama, dan membangunkan ciri-ciri ICT rel yang canggih seperti yang dilakukan Seoul Metro.

Dalam Malaysia membangunkan rangkaian metro futuristik tersendiri, kerajaan dan pengiat sektor rel perlu memikirkan jauh ke hadapan dan menerima pakai atau membangunkan teknologi yang sesuai dengan keperluannya serta dapat menepati citarasa pengguna.

- Bernama


Lihat Komen
ADS