Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Siapa dalang projek Harapan Coin?
Diterbitkan:  Nov 14, 2018 12:14 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Najib Razak menuntut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mendedahkan pihak di belakang mata wang kripto Harapan Coin yang dicadang digunakan untuk pelbagai transaksi kerajaan.

“Saya tanya sekali lagi, apa sebenarnya agenda Harapan Coin ini, dan siapa sebenarnya yang untung?

“Saya mahu Khalid Samad dedahkan dalang di sebalik projek ini. Namakan mereka satu per satu,” katanya.

Dalam tulisan di Facebook hari ini, Najib berkata memetik semula kenyataan Khalid dalam satu rakaman yang menyebut kutipan itu akan dibahagikan antara pembangun skim (30 peratus), Amanah (30 peratus) dan Pakatan Harapan (40 peratus).

Sebelum ini, Khalid berkata beliau akan mencadangkan Harapan Coin, sebagai platform yang menggunakan teknologi mata wang kripto dan blockchain, kepada Bank Negara Malaysia dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

 Beliau juga menjelaskan bahawa mata wang kripto itu akan boleh digunakan bagi transaksi seperti bayaran lesen dan saman.

Harapan Coin dilapor dilancarkan pada Mei lalu. Khalid ialah pengasas bersama mata wang itu yang dikatakan sebagai platform pengumpulan dana politik pertama.

Katanya biarpun teknologi Blockchain dan wang kripto baru di Malaysia, ia mempunyai banyak kebaikan termasuk menggunakan sistem data terbuka dan tidak boleh digodam.

Sementara itu semakan mendapati laman web Harapan Coin didaftarkan pada Disember tahun lalu.

Seperti laman web tawaran mata wang kripto permulaan (ICO) yang lain, ia memaparkan kertas putih menjelaskan objektifnya, yang ketika itu untuk mengutip dana Pakatan Harapan (PH).

 Penulis blog teknologi dan keselamatan maklumat terkenal Keith Rozario semalam berkata kertas putih itu tidak mempunyai maklumat terperinci.

“Jika ia ditulis oleh pelajar kolej, saya akan gagalkan mereka.

“Jadi kita ada mata wang yang buat dakwaan mengarut dan kurang perincian. Ini nampak macam scam,” katanya di Twitter.

Terdapat banyak laporan berkaitan ICO yang gagal dalam beberapa bulan pertama – menyebabkan hanya segelintir pihak mendapat untung dan selebihnya rugi.

Kerajaan China telah mengharamkan segala bentuk ICO sejak 2017.

Lihat Komen
ADS