Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dosa lompat parti, Dusuki: Itu pun susah nak fahamkah?

ULASAN | Nampaknya ramai di kalangan kita keliru atau buat-buat tak faham dengan isu lompat parti dan amanah yang mengikat dirinya sebagai anggota parlimen (MP) dan anggota dewan undangan negeri (Adun).

Mari saya jelaskan bagaimana mereka mengikat diri dengan amanah yang tidak perlu dan berdosa apabila mereka melakukan khianat.

Seseorang mengisi borang menjadi ahli parti, dan parti melantiknya memasuki pilihan raya mewakili parti dan ahli jemaah parti itu, lalu parti itu mendapat kemenangan daripada sokongan orang ramai.

Kemenangan itu atas parti bukan individu, kemudian tiba-tiba MP atau Adun melompat ke parti lain yang menjadi seteru mereka sebelum ini.

Di saat itulah ia dinamakan pengkhianatan amanah dan tanggungjawab yang dipikul sebelum ini.

Inilah pengkhianatan dan dosa! Sebabnya mereka melompat dan meninggalkan parti yang diwakili selepas menang melalui parti atau jemaahnya, bukannya atas kapasiti diri sendiri.

Melompatlah ke parti lain di saat kalian sudah meletakkan jawatan sebagai MP atau Adun. Itu tidak akan dinamakan khianat!!

Takrif khianat dari ulama

Ya, lompat parti bukan tukar agama, tapi sedang menukar pahala (memikul tanggungjawab) kepada menjadi dosa (khianat kepada jemaah, parti dan undi yang sukar dibuang inai di jari pengundi hangpa itu).

Itu pun susah nak fahamkah?

Jika susah faham lagi, mari kita rujuk kepada al-Quran dan hadis membicara soal khianat ini.

Salah satu sifat orang yang berjaya ialah orang yang menepati dan menunaikan amanah yang diberi. Menerusi surah al-Mukminun Allah SWT berfirman (maksudnya):

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” (23:8)

Al-Saa’di - menerusi Tafsir as-Saa’di - mentafsirkan ayat itu dengan: "Iaitu orang yang menunaikan amanah yang diberikan kepadanya, menjaga amanah yang diperuntukkan kepadanya, bersungguh-sungguh melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Amanah yang telah diberikan oleh Allah untuk ditunaikan atau dipertanggungjawabkan kepadanya dalam urusan manusia."

Beberapa takrifan berkaitan khianat yang telah diberikan oleh para ulama:

  • Al-Qurthubi: Khianat ialah curang dan menyembunyikan sesuatu (Al-Jami’ li Ahkam al-Quran).
  • Al-Munawi: Khianat ialah mensia-siakan (merosakkan) amanah (at-Tauqif).
  • Al-Jahiz: Khianat ialah melanggar amanah yang diberikan seseorang kepadanya dalam bentuk harta, pangkat, kemuliaan, mengambil hak orang lain atau melanggari amanah yang telah diberikan kepadanya.

Allah merakamkan di dalam al-Quran al-Karim bahawa amanah ialah perkara yang cukup besar dan berat tanggungjawabnya untuk dilaksanakan. Allah berfirman (bermaksud):

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil” (al-Ahzab 33:72).

Betapa ramai yang memandang perbuatan khianat itu seperti perkara yang mudah sedangkan Allah dan Nabi SAW sendiri memberi ancaman yang keras terhadap orang-orang yang mengkhianati amanah.

Gambar hiasan

Banyak dalil mengecam perbuatan yang mengkhianati amanahnya. Antaranya:

Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah: “Tanda munafik itu tiga (iaitu) apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberikan amanah, dia khianat.”

Hadis riwayah Ahmad dan Ibn Hibban: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki (sifat) amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janjinya.”

Hadis riwayat Muslim: “Pengkhianat ialah orang yang tidak tersembunyi sifat tamaknya, walaupun sesuatu yang kecil dia selalu berbuat khianat.”

Daripada riwayat Bukhari dan Muslim: “Barangsiapa yang tidak menepati janji seorang Muslim, dia mendapat laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia. Tidak diterima daripadanya taubat dan tebusan.”

Gambar hiasan

Mengkhianati amanah merupakan antara dosa besar. Imam al-Zahabi menerusi kitabnya, Al-Kaba’ir menyenaraikan khianat sebagai salah satu dosa besar.

Begitu juga Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang turut meletakkan khianat sebagai salah satu dosa besar di dalam kitabnya Az-Zawajir ‘an Iqtirafi al-Kabair.

Yang menghairankan, sikap dikeji dan ancaman laknat dari Allah ini menjadi-jadi kebelakangan ini. Apakah nilai amanah pada setiap orang - dari peringkat bawahan hingga ke atas - yang diberikan amanah itu?

Apakah nilai amanah yang telah diberikan oleh rakyat bawahan kepada para pemimpin pilihan masyarakat pada saat mereka melarikan diri apabila dihimpit sedikit ujian?

Di manakah nilai diri orang-orang sebegini? Bertaqwalah!


AHMAD DUSUKI ABD RANI ialah AJK PAS Selangor, Timbalan Ketua Ulama Selangor dan Timbalan Pengerusi Dakwah Pusat PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS