Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lembaga pengarah baru Finas telah dilantik
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 2:57 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah dilantik dan akan diperkenalkan kepada khalayak umum minggu depan.

Beliau berkata senarai anggota lembaga pengarah yang baharu itu terdiri daripada mereka yang berpengelaman dalam bidang kewangan dan penstrukturan semula korporat.

"Pada masa yang sama, kami juga melantik sekumpulan penasihat yang terdiri daripada mereka yang benar-benar terlibat dalam industri, mereka yang faham masalah-masalah industri dan akan dapat membantu kami menyelesaikan masalah-masalah semasa yang ada," katanya kepada pemberita pada pelancaran Festival Usahawan Malaysia hari ini.

Gobind berkata kumpulan penasihat itu juga akan memberi nasihat dalam soal pelantikan Ketua Pengarah Finas yang baharu.

"Adalah diharapkan minggu depan kami akan dapat mengadakan satu sidang akhbar di mana kami akan memperkenalkan kesemua mereka ini kepada khalayak umum," tambah beliau.

Finas kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa peruntukan yang diterimanya pada 2017.

Terdahulu ketika berucap, Gobind berkata kerajaan sedang menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), sebuah platform bagi PKS untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

Katanya setakat ini sebanyak kira-kira 3,300 PKS telah menyertai platform DFTZ sejak ia dilaksanakan tahun lepas.

Beliau berkata peniagaan dalam talian yang merentasi sempadan akan menjadi kelaziman dan PKS perlu segera mengambil kesempatan daripadanya untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital.

Beliau juga menambah, ekonomi Internet Asia Tenggara dijangka berkembang daripada US$50 bilion kepada US$250 bilion (RM200 bilion kepada RM1 trilion) dalam tempoh tujuh tahun ke depan.

"Dalam zaman digital ini, 'connectivity' (penyambungan) adalah kuncinya...kementerian saya sedang giat berusaha untuk meningkatkan kelajuan jalur lebar dan mengurangkan harga perkhidmatan, untuk mewujudkan suasana dan infrastruktur kondusif untuk pembangunan dan pertumbuhan perniagaan dan ekonomi," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS