Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak suka mandi antara alasan bercerai di Kuantan
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Jika dua hari lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa hal-hal lazim dan kecil seperti isteri gemar membasuh baju pada waktu malam menyumbang kepada masalah rumahtangga, hari ini, kadi daerah Kuantan, pula memberitahu suami tidak suka mandi menjadi antara penyebab kes perceraian di daerah itu.

Berita Harian Online memetik kadi daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain, sebagai berkata selain suami tidak suka mandi, mereka yang tidak tahu menunggang motosikal juga menjadi penyumbang kepada statistik perceraian.

“Kadang-kadang yang datang untuk mohon bercerai apabila kita adakan sesi kaunseling alasan memang remeh, suami tidak suka mandi, suami tidak tahu menunggang motor malah suami pakai baju sama selama seminggu menjadi sebab (perceraian).

“Jadi kita cuba menyelamatkan perkahwinan mereka dengan mengadakan sesi kaunseling dan beri tempoh kepada pasangan untuk berubah,” katanya kepada portal itu.

Menceritakan pengalamannya memberikan khidmat nasihat kepada pasangan yang ingin bercerai disebabkan alasan kecil, Abdul Zaki berkata beliau sedaya upaya akan meminta mereka berubah ke arah kebaikan dan memberi tempoh kepada pasangan terbabit untuk berbuat demikian.

“Isteri mengadu suami tak pandai menunggang motosikal, dia (isteri) hari-hari kena hantar suami ke tempat kerja... dalam kes ini saya cuba menasihatkan suami dengan cara positif supaya dia boleh berubah ke arah kebaikan.

“Ada yang mengadu suami tak suka mandi sampai seminggu, baju pun tidak mahu tukar.

“Kes ini kita akan tekankan aspek kebersihan kepada suami dan selitkan hadis mengenai kebersihan yang dituntut oleh Islam,” katanya.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memaklumkan Hannah Yeoh, berkata, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menunjukkan ada hal-hal yang lazim dan kecil boleh menyumbang kepada masalah rumahtangga.

Antaranya, isteri gemar membasuh baju pada waktu malam, suka mengikuti rombongan beramai-ramai dan tabiat makan dalam kereta.

Beliau juga berkata punca lain yang membawa perceraian ialah berbeza fahaman politik, pasangan berdengkur semasa tidur dan suami atau isteri suka membeli-belah.

Kata Yeoh mengikut statistik kementerian ada 2,932 kes perceraian di seluruh Wilayah Persekutuan saja antara 2013 dan 2017, manakala data di negeri lain sedang dikumpul.

Bagi orang bulan Islam pula, statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan ada 14,440 kes perceraian di bawah usia perkawinan lima tahun bagi 2013 hingga 2017.

Lihat Komen
ADS