Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia naik lima anak tangga dalam laporan kesaksamaan gender 2017
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 4:46 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Kedudukan Malaysia dalam senarai ‘The Global Gender Gap Report 2017’ meningkat lima anak tangga pada kedudukan ke-70 daripada 144 negara, berbanding kedudukan ke-75 pada 2016.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan itu dicapai setelah mengambil kira Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang menunjukkan purata skor bagi empat sub-indeks (peluang dan penyertaan ekonomi; pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan; dan penguasaan politik) sebanyak 0.697 atau 69.7 peratus.

Katanya skor itu meningkat daripada 0.692 (69.2 peratus) pada 2016. Skor 1.0 (100 peratus) ditakrifkan sebagai tiada jurang antara lelaki dan wanita.

"Dalam masa sama, Malaysia berada pada kedudukan kelapan, berbanding kedudukan kesembilan pada tahun 2016, di kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, di hadapan Indonesia, China dan Brunei," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Penerbitan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2018 yang memaparkan statistik berkaitan gender di Malaysia bagi tahun 2015 hingga 2017.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata skor 0.697 itu menunjukkan masih wujud ketidaksamaan gender dengan jurang skor 0.303.

Kesaksamaan telah dicapai bagi sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.040 yang menunjukkan pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam pendidikan, diikuti kesihatan dan kehidupan (0.961), peluang dan penyertaan ekonomi (0.726) dan penguasaan politik (0.061).

"Bagaimanapun, berdasarkan situasi politik masa kini, skor sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi dan penguasaan politik dijangka meningkat pada masa hadapan selari dengan pelaksanaan dasar dan polisi yang berkaitan," katanya.

-  Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS