Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan NS perlu semak semula dasar pemilikan hartanah warga asing
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 4:47 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Pesatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri Sembilan berharap kerajaan negeri akan menyemak semula dasar pemilikan hartanah warga asing, menyatakan ia mungkin menjejaskan aliran pelaburan ke negeri itu.

Pengerusinya Jenny Wang Lee Peng berkata sukar untuk mencari hartanah di negeri ini yang memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan negeri, seperti harga minimum RM2 juta dan hanya tanah pajakan digunakan untuk komersial dan perumahan.

“Majoriti tanah di sini berstatus pegangan bebas dan anda tidak dapat mencari rumah yang berharga lebih RM2 juta.

“Menerusi pelaksanaan dasar itu, ia mungkin menjadikan pelabur asing tawar hati untuk datang ke Negeri Sembilan kerana, malah bagi tujuan komersial seperti untuk kilang, status tanah tetap menjadi kebimbangan utama di bawah dasar baharu ini,” katanya selepas sidang media mengenai Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Bulan lepas, Menteri Besar Aminuddin Harun mengumumkan harga belian minimum hartanah di Seremban, Port Dickson dan Jempol bagi pemilikan warga asing adalah RM2 juta, dan RM1 juta bagi kawasan lain, serta bermula 1 Jan tahun depan, hanya tanah pajakan boleh dimiliki oleh warga asing.

“REHDA Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri untuk menyemak semula dasar itu bagi menggalakkan pemilikan asing di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wang juga berharap kerajaan negeri menyemak semula dasar mekanisme pelepasan automatik berstruktur bagi unit rumah kuota Bumiputera yang tidak terjual supaya unit itu kembali semula ke dalam pasaran terbuka.

"Ketika ini, terdapat 149 hartanah komersial Bumiputera bernilai RM120 juta dan 222 hartanah perumahan Bumiputera bernilai RM205 juta tidak terjual,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 2,377 hartanah bernilai RM1.5 bilion akan ditawarkan pada Mapex yang akan diadakan selama tiga hari di Seremban Prima dari 23-25 Nov.

Ekspo hartanah itu disertai 18 pemaju termasuk IJM Land Bhd, Matrix Concepts Sdn Bhd, Seri Pajam Development Sdn Bhd, THP Hartanah Sdn Bhd dan Park Properties Sdn Bhd.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS