Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pinda akta untuk beri hak pada Sabah urus minyak - Liew
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berpandangan sudah tiba masanya kerajaan baru, khususnya kerajaan negeri Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah, mengambil langkah sewajarnya untuk mentadbir dan mengurus sumber minyak dan gasnya secara lebih efektif.

Justeru, katanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dikaji dan dipinda bagi membolehkan kerajaan negeri Sabah mendapat kelebihan dalam hal urus tadbir hak minyak dan gasnya sendiri.

"Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Pakatan Harapan dan Warisan untuk memberikan hak yang sama rata kepada Sabah seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada malam sambutan Hari Malaysia 16 Sept 2018 yang lalu," katanya.

Liew berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam sempena program Dialog Undang-Undang Anggota Perlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu malam tadi. Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Liew beliau juga menyokong langkah kerajaan Sabah meminda Seksyen 4 Ordinan Tanah (Bab 68) negeri berkenaan yang memperhalusi lagi takrif tanah di negeri berkenaan serta diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah dalam persidangan baru-baru ini.

Katanya pindaan itu akan membolehkan kerajaan Sabah menuntut hak ke atas hasil semula jadi yang terdapat di tasik, sungai serta dasar laut dalam kawasan Pelantar Benua dan secara langsung menguatkan lagi tuntutan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Ini adalah satu tindakan yang holistik dalam usaha kerajaan negeri untuk menuntut haknya dalam cukai hasil jualan apa saja galian dasar laut Sabah.

"Implikasi daripada Pindaan Seksyen 4 Ordinan Tanah (Bab 68) ini akan membolehkan kerajaan persekutuan bersedia untuk melihat atau membuat pindaan yang sepatutnya terhadap mana-mana peruntukan undang-undang yang terlibat dalam Akta Pembangunan Petroleum1974 khasnya dan Perlembagaan Persekutuan amnya," kata Liew.

Mengenai keperluan pindaan undang-undang untuk pemudahcaraan menjalankan perniagaan dalam kalangan usahawan sekali gus memenuhi aspirasi kerajaan Pakatan Harapan yang 'mesra perniagaan' Liew berkata terdapat undang-undang yang wujud sejak zaman penjajahan British, memerlukan pindaan kerana dilihat sudah tidak relevan.

Sebagai contoh katanya Ordinan Perlesenan Perniagaan 1948 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 perlu diperbaharui kerana dianggap sudah tidak relevan pada masa kini.

"Oleh yang demikian, kerajaan persekutuan akan membentuk jawatankuasa khas bersama kerajaan negeri untuk menambah baik perniagaan di Semenanjung dan Sabah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS