Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PTPTN akan tutup jika tangguh bayaran pinjaman - Wan Saiful
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditutup sekiranya menangguhkan pembayaran balik pinjaman tabung itu bagi peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000, kata pengerusinya Wan Saiful Wan Jan,

“Kita tidak mahu jika laksanakannya (penangguhan bayaran), pada tahun akan datang kerajaan terpaksa menutup PTPTN akibat beban hutang tinggi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Wan Saiful berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Pendidikan Kerjaya 2018 di Arau hari ini.

Menurutnya cadangan penangguhan pembayaran semula itu bakal memberi kesan buruk kepada institusi berkenaan bagi jangka masa panjang.

“Kita hargai cadangan semua pihak supaya ditunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), namun pada masa kini kita tidak mampu untuk memenuhi janji itu.

Kelmarin, Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat menggesa kerajaan segera melaksanakan janji berhubung penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN.

Hassan dipetik berkata, kerajaan perlu menyusun balik struktur PTPTN bagi membantu golongan muda dan mahasiswa.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi melaksanakan mekanisme pembayaran semula pinjaman berkenaan.

“Saya merayu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mempercepatkan perbincangan di peringkat dalaman kerana sudah dua bulan lebih kita menunggu.

“Sejurus mereka memuktamadkan keputusan, kita akan terus bawa ke Kabinet untuk diputuskan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak,” katanya.

Lihat Komen
ADS