Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Watak 'Santa Klaus' baru mencuri perhatian di media sosial apabila ia dilihat menyerupai seorang ahli perniagaan yang kini sedang dikehendaki pihak berkuasa.

Watak itu turut disertai slogan-slogan yang tertera pada beg dan barang dagangan lain seperti "Spending like i stole it" (Beli belah seperti mencuri) dan "Gift it like Saudi Prince" (Derma seperti putera Arab Saudi)".

Watak berkenaan yang memakai pakaian ala Santa Klaus atau banduan dipamerkan di sebuah pusat beli-belah di Bangsar.

Rata-rata pengguna media sosial menyamakan watak barang dagangan Apom itu dengan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Bagaimanapun, salah seorang pengasas Apom yang hanya ingin dikenali sebagai Kelvin berkata, 'Santa Jholly' hanya watak fiksyen yang direka pihak mereka sempena perayaan Krismas yang akan menjelma tidak lama lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Kelvin berkata Apom - singkatan bagi 'A Piece of Malaysia' - diasaskan dua tahun lalu bagi meraikan unsur jenaka dalam budaya masyarakat Malaysia.

Bagi tahun ini, syarikat berkenaan mencipta watak Santa Klaus Asia.

Antara barang dagangan yang dipamerkan adalah baju-T, beg, cawan, kad Krismas, serta buku bertajuk Find Jholly yang menyerupai buku teka-teki kanak-kanak Where's Wally?.

Salah satu babak dalam buku itu memaparkan parti di tepi pantai di sebuah pulau dengan turut kelihatan sebuah kapal layar mewah dengan nama 'SS Equanimity'.

Ditanya jika dia tidak risau disaman oleh Jho Low, Kelvin merujuk pada keterangan buku itu yang berbunyi: "Semua watak dalam penerbitan ini adalah fiksyen dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana individu atau pihak".

Kelvin turut memberitahu Malaysiakini bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada barang dagangan mereka mendapat sambutan atau tidak kerana ia baru dilancarkan Rabu lalu.

"Tapi setakat ini apa yang kami gembira adalah apabila orang lalu-lalang di hadapan kedai kami, mereka akan memberi pujian dan ketawa melihat baju-T, dan slogan yang kami guna.

"Kami anggap itu satu pujian, kami nilai kejayaan sesuatu promosi dari reaksi orang ramai terhadap produk kami.

"Sambutan agak menggalakkan setakat ini. Seperti yang anda boleh lihat, kami dapat banyak liputan, kami sebenarnya tak sangka," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS