Belumpun pertikaman lidah di antara Pengangkutan Anthony Loke dan Presiden MIC, SA Vigneswaran, reda, hari ini, seorang pemimpin PSM pula campur tangan dan menimbulkan persoalan diskriminasi.
“Kaum yang pakai selipar kena bersatu. Ia selesa dan murah,” kata ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan dalam hantaran di laman Facebook, petang ini.
Dia juga mempersoalkan mengapa pemakai selipar didiskriminasi di lorong orang kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mahkamah dan program rasmi.
“Mengapa pemakai selipar kena didiskriminasi di VIP lane airport, mahkamah dan beberapa program rasmi?
“Apakah rasional mendiskriminasi selipar?” soalnya.
Selain, Arutchelvan, beberapa pemimpin PSM, termasuk pengerusinya, Nasir Hashim juga sering kelihatan memakai selipar dalam urusan seharian mereka.
Hantaran Arutchelvan itu mengundang pelbagai reaksi, dengan ada yang memintanya supaya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting.
Sabtu lalu, Loke mendakwa Vigneswaran melanggar peraturan keselamatan di KLIA apabila tidak menjalani pemeriksaan badan dan juga mematuhi kod berpakaian yang sesuai dengan memakai sandal ketika berada di laluan kenamaan.
Katanya, presiden MIC itu juga tidak mengendahkan arahan pegawai yang bertugas, ataupun mempunyai pas keselamatan.
Vigneswaran, yang juga presiden Dewan Negara, mendakwa bahawa beliau memakai selipar pada hari kejadian itu kerana kecederaan kecil pada kakinya ketika menemani anak perempuannya yang buat pertama kali menaiki penerbangan.
Dalam mempertahankan bosnya, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan S Rajah mencabar Loke untuk mengambil tindakan terhadap Daim Zainuddin kerana memakai juga sering menggunakan capal ketika menggunakan lorong VIP di KLIA.
