Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru lapor polis, ragui penjelasan isu soalan SPM bocor

Tidak puas hati dengan penjelasan Kementerian Pendidikan berhubung dakwaan kebocoran soalan dan jawapan kertas Matematik peperiksaan SPM 2018, sebuah NGO tampil membuat laporan polis, hari ini.

Majlis Lembaga Pengelola Sekolah (MAST) membuat laporan polis di balai polis Serdang, meminta isu isu disiasat dengan telus dan teliti.

"Kami bukan nak menyusahkan calon-calon SPM supaya menduduki semula peperiksaan SPM, tetapi, pada masa yang sama kebenaran mesti ditegakkan.

"Kami juga nak, selain pihak polis, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga perlu segera menyiasat pihak yang terbabit dengan dakwaan ini termasuk Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)," kata Presiden MAST Guruu Ramasamy ketika menghubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menafikan berlaku kebocoran kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina bagi peperiksaan SPM 2018.

Dalam kenyataan pada 16 November, KPM berkata LPM sudah menjalankan siasatan berkaitan aduan diterima berhubung khabar angin yang tular membabitkan tiga kertas mata pelajaran itu.

Turut dilaporkan, Timbalan Pendidikan Menteri Teo Nie Ching, turut menafikan dakwaan tersebut.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa LPM sudah berhubung dengan sebuah sekolah di Sabah dan seorang gurunya yang didakwa terbabit.

Menurutnya, jawapan yang beliau muat naik dalam Instagramnya adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan dan pelajarnya.

“Jawapan itu disediakan selepas peperiksaan selesai dan dimuat naik selepas jam 11.15 pagi. Jawapan itulah yang ditularkan dalam media sosial. Berdasarkan maklumat ini, tidak berlaku kebocoran kertas soalan dan jawapan Matematik seperti didakwa,” katanya Nie Ching dalam catatan di Facebooknya.

Sementara itu, ditanya mengapa MAST masih tidak puas hati dengan penjelasan KPM, Guruu memberitahu terdapat beberapa perkara yang tidak dijelaskan dengan teliti.

"Saya berurusan dengan KPM sejak 10 tahun lalu. Tidak pernah mereka menyiasat dakwaan sebegini dalam masa sehari. Sebagai contoh, satu kes penderaan di sebuah sekolah Tamil di Perak. 

“Sudah tiga bulan Teo berjanji menyiasat. Masih, tiada sebarang keputusan atau penyelesaian," katanya.

"Saya berpendapat Kementerian Pendidikan bawah Pakatan Harapan sangat defensive berbanding kementerian lain seperti pengangkutan, sumber manusia, kewangan, kesihatan yang lebih terbuka dengan kritikan melibatkan isu-isu integriti kementerian," tambahnya.

Beliau turut menegaskan penjelasan Teo berhubung guru itu sebagai pelik.

"Kenapa beliau perlu memuat naik di Instagram sedangkan setiap sekolah mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri? 

“Mengapa pula jawapan kertas tersebut bersama cop rasmi dan tandatangan sekali? Apa tujuannya?" soal Guruu.

"Bagaimana pula dengan murid-murid yang terlibat dalam perbincangan yang ditularkan? Adakah KPM menyiasat murid-murid tersebut juga? Ini kerana melalui perbincangan murid-murid ini, kita dapati jawapan tersebut diedarkan sebelum peperiksaan bermula. 

“Jadi, KPM perlu adil menyiasat kedua-dua sebelum isu kenyataan rasmi," tegasnya lagi.

Lihat Komen
ADS