Meskipun ajaran Syiah difatwakan sesat di negara ini, garis panduan perlu ditentukan bagi menjunjung kebebasan beragama seperti termaktub dalam perlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata perlu ada garis yang membezakan antara mereka yang sekadar menganut Syiah dan yang menganut serta mempromosikan fahaman itu.
“Ada dua (isu) dalam hal ini, pertama semua fahaman Syiah itu (difatwakan) sesat. Kedua ialah fatwa yang menyatakan amalan orang Malaysia Islam ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Tetapi adakah hanya kerana menjadi Syiah maka kita boleh mengambil tindakan? Ataukah dengan menjadi Syiah dan dia mempromosi Syiah, itu dua benda yang berbeza,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor semalam yang mengatakan fatwa menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula.
Menurut Wan Salim, ini berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsensus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman ASWJ.
Isu syiah kembali timbul apabila terdapat gesaan termasuk daripada aktivis sosial dan ahli akademik Dr Chandra Muzaffar agar fatwa tentang mazhab itu yang dikeluarkan pada 1996 dibatalkan.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi aqidah, syariah dan akhlak.
Penyebaran apa-apa ajaran Islam yang lain daripada pegangan ASWJ adalah dilarang, termasuk penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain bentuk sebaran turut diharamkan, menurut muzakarah itu lagi.
Bagaimanapun Mujahid berkata artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kebebasan beragama, namun ia tertakluk kepada sekatan oleh Perkara 11 (4) yang bertujuan mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut agama Islam.
"Jadi itulah yang perlu diletakkan garis panduan antara hak menganut apa-apa agama dan fahaman, dengan (jika) dia mempromosikan,” kata Mujahid.
Cadangan untuk membatalkan fatwa pengharaman Syiah telah mendapat tentangan daripada beberapa tokoh agama, termasuk mufti Negeri Sembilan, mufti Pahang, timbalan mufti Perak dan juga Majlis Agama Islam Selangor.
