Malaysiakini BERITA

Surat buat Maszlee: Bela nasib pekerja kontrak sektor pendidikan

Wan Zamzahidi Wan Zahid  |  Diterbitkan

ULASAN | Saya telah memerhatikan saudara Dr Maszlee semenjak dilantik menjadi menteri pendidikan sebaik sahaja kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan. 

Ketika pelantikan itu, saya adalah salah seorang yang menyambut baik pemilihan saudara memandangkan apa yang saudara sering utarakan sebelum ini, adalah perkara-perkara yang sebetulnya adalah harapan kebanyakan rakyat untuk disuarakan. 

Dan semestinya orang yang mempunyai pemikiran dan hala tuju seiring dengan harapan rakyat, perlulah disokong.

Setelah dilantik juga, saya melihat kaedah yang saudara gunakan, dengan lawatan mengejut ke sekolah-sekolah bagi melihat sendiri keadaan infrastruktur dan juga kelengkapan sekolah, adalah sesuatu yang asing, tidak pernah dilakukan oleh menteri-menteri sebelum ini, juga saya lihat, tidak dilakukan oleh menteri-menteri lain yang ada sekarang. 

Ia sangat baik dan khalayak mempunyai harapan yang ia akan menjadi satu titik tolak kepada satu khidmat yang lebih baik daripada saudara sebagai seorang menteri.

Namun, setelah itu, saya melihat satu persatu apa yang saudara suarakan adalah semakin lari dari aspirasi rakyat. Isu kasut hitam untuk pelajar, isu PTPTN yang tak berkesudahan dan sebagainya mengakibatkan nilai serta nama saudara jatuh merudum, malah semakin rendah berbanding menteri-menteri di zaman kerajaan lama dahulu.

Saya tidak ingin menyentuh tentang isu-isu yang telah saudara ambil perhatian, suarakan, ambil tindakan dan juga jadikan sebagai satu ketetapan yang bagi saya semuanya itu hanyalah isu yang samada mempopularkan saudara, atau mendatangkan kemarahan khalayak kepada saudara, tetapi saya ingin menarik perhatian saudara kepada satu isu yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam kementerian yang saudara terajui iaitu isu Sistem Kontrak Perkhidmatan dalam sektor pendidikan.

Kita sedia maklum, suatu masa dahulu, kakitangan yang menjalankan aktiviti pembersihan, aktiviti kawalan keselamatan, penjagaan lanskap dan sebagainya adalah merupakan sebahagian dari kakitangan awam yang dibayar gaji dan menerima kemudahan sepertimana kakitangan awam yang lain.

Bagaimanapun, pada satu ketika, ia telah diubah dengan pengurusan diserahkan kepada syarikat-syarikat secara kontrak dan pekerja-pekerja ini bukan lagi menjadi sebahagian dari kakitangan awam. 

Sejak itu, sebenarnya, sebahagian beban kepada kementerian, dari segi kestabilan tenaga kerja telah dilepaskan dan menjadi tanggungjawab syarikat swasta untuk memastikan tenaga kerja yang stabil dibekalkan kepada sekolah-sekolah bagi memenuhi tuntutan kerja-kerja seperti dijelaskan di atas.

Pembayaran bermasalah

Apa yang menjadi masalah adalah, kebanyakan syarikat yang mendapat kontrak untuk membekalkan tenaga kerja bagi tugas-tugas tersebut, sebenarnya adalah kurang berkemampuan dan gagal untuk menjadi majikan yang baik kepada pekerja-pekerja ini. 

Ia menjadi satu lubuk mencari untung kepada kapitalis yang terbabit dan menjadikan pekerja-pekerja kontrak ini seumpama hamba. Kebanyakan pemilik syarikat ini adalah bekas kakitangan awam berpangkat yang menubuhkan syarikat setelah pencen dan seolahnya, kontrak ini adalah sebagai imbalan kepada khidmat mereka sewaktu dalam tugas sebelum ini. 

Tanpa pengalaman menguruskan syarikat, mereka ini jelas gagal dalam melaksanakan apa yang sepatutnya sebagai seorang majikan.

Antara masalah yang sering timbul adalah pembayaran gaji yang lambat, gaji dibayar secara runcit (tidak penuh dan berkali-kali), caruman KWSP dan PERKESO tidak dilakukan walaupun gaji kakitangan dipotong, dan pekerja sering menjadi mangsa apabila mereka meluahkan atau menyuarakan masalah kepada pihak majikan dengan ancaman untuk ditukarkan ke lokasi yang jauh, atau ditamatkan perkhidmatan dan sebagainya.

Masalah lain juga timbul kerana setiap kontrak berlangsung selama tiga tahun. Pada peringkat permulaan, pekerja akan menerima gaji minimum (katakan dalam keadaan sekarang RM1000) dan setelah berkhidmat selama tiga tahun, gaji mereka mungkin meningkat ke RM1200, tetapi apabila kontrak majikan diperbaharui, kedudukan pekerja terjejas kerana dalam banyak kes, mereka akan dikira sebagai pekerja baru dan kembali menerima gaji minimum walaupun gaji telah naik sebelum itu.

Yang paling memeritkan kini, setelah kerajaan baru mengambil alih selepas PRU ke-14 dalam bulan Mei 2018, pembayaran yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan didapati bermasalah sepertimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bertarikh 17 September 2018 dan yang paling teruk menerima kesan adalah kalangan pekerja yang menerima gaji mereka secara berperingkat, kadangkala RM200 untuk seminggu, dan kemudian RM150 minggu seterusnya walaupun dalam kontrak kerja mereka menjelaskan bahawa gaji perlu dibayar sepenuhnya paling lewat 7 haribulan pada bulan berikutnya.

Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada saudara sebagai menteri pendidikan untuk turun sendiri meninjau perkara ini dan menyaksikan sendiri kualiti hidup golongan pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan di sekolah-sekolah ini. 

Dan besarlah harapan saya agar suatu tindakan yang berkaitan dapat dilakukan bagi menangani perkara sebegini dan alangkah baiknya jika khidmat-khidmat sebegini, dikembalikan kepada sistem yang lama di mana ianya secara terus antara kerajaan dan pekerja sebagai kakitangan awam, tanpa melibatkan pihak syarikat swasta yang jelas hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira nasib golongan pekerja ini.

Kami di Parti Sosialis Malaysia banyak menangani kes-kes berkaitan pekerja kontrak sebegini yang tidak dibayar gaji dengan betul, tidak dicarum KWSP dan PERKESO walaupun gaji mereka dipotong setiap bulan untuk tujuan tersebut, dan seribu satu masalah lagi yang jelas menekan golongan pekerja sedangkan majikan bersenang lenang dengan hasil titik peluh golongan pekerja ini.

Kami juga bersedia untuk berbincang dengan pihak saudara bagi menunjukkan dengan jelas tentang isu ini agar dapat membuka mata saudara untuk melaksanakan tindakan yang seterusnya demi kebaikan semua pihak.


WAN ZAMZAHIDI WAN ZAHID merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Sosialis Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.