Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC Perak tetap akan panggil Zambry, bekas CEO MB Inc
Diterbitkan:  Nov 20, 2018 3:52 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Keputusan untuk memanggil bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Datuk Aminuddin Hashim bagi menghadiri sesi pendengaran awam berhubung siasatan terhadap perbadanan itu 26 Nov ini tetap akan diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak Leong Cheok Keng berkata keputusan itu sebenarnya telah dipersetujui oleh kesemua anggota PAC yang hadir pada mesyuarat jawatankuasa itu yang telah dijalankan pada 15 Nov lepas.

“Tiada sebab untuk tidak mengadakan pendengaran awam kerana ia telah disampaikan kepada semua anggota yang hadir (mesyuarat PAC 15 Nov) kecuali Yang Berhormat (YB) Khusairi (ADUN Slim) yang tidak hadir.

“Kami semua telah bersetuju pada mesyuarat itu sebagai seluruh anggota PAC untuk memanggil YB Zambry sebagai saksi utama pada pendengaran awam yang akan diadakan pada 26 Nov depan,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

Sesi pendengaran awam itu akan diadakan di bilik gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, bermula pukul 10 pagi, pada 26 Nov.

Semalam, anggota PAC Perak Datuk Aznel Ibrahim dalam satu sidang media berkata keputusan memanggil Zambry dan Aminuddin adalah satu tindakan terburu-buru dan berpendapat perkara itu mesti dibincangkan terlebih dahulu kerana sesi berkenaan hanya boleh dilakukan jika jawatankuasa berkenaan mempunyai asas yang kukuh.

PAC negeri dianggotai Leong sendiri sebagai pengerusi, timbalan pengerusi Chong Zhemin yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji dari DAP; ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim (BN); ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN); ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor (Amanah); ADUN Teja, Ng Shy Ching (PKR) dan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS).

Selain itu, Leong menegaskan bahawa jawatankuasa berkenaan telah bertindak secara profesional serta terbuka dan bukan seperti yang diperkatakan oleh Aznel bahawa keputusan itu dibuat secara bersendirian tanpa pengetahuan semua anggota PAC.

“Pada mesyuarat itu (15 Nov), tiada siapa (anggota PAC) yang membantah, jadi saya menafikan apa yang dikatakan bahawa saya telah bertindak secara sendiri sebagai pengerusi tanpa persetujuan yang lain. Saya tidak akan dipengaruhi oleh pertimbangan politik dan saya juga harap anggota PAC yang lain juga tidak dipengaruhi selain bertindak lebih profesional dan bebas.

“Tindakan yang saya lakukan adalah sebagai pengerusi PAC dan bukan sebagai anggota DAP, saya ingin menegaskan bahawa saya telah bertindak sebagai pengerusi PAC yang telah dipilih oleh DUN (Dewan Undangan Negeri) Perak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Sekretariat Kerajaan Negeri untuk menyediakan dan menghantar notis kepada Zambry dan Aminuddin sejurus selepas mesyuarat PAC pada 15 Nov lepas.

"Saya berharap YB Zambry and Aminuddin akan bekerjasama dengan datang sebagai saksi... mereka dipanggil sebagai saksi sahaja bukan tertuduh ataupun suspek, oleh itu tiada persoalan yang mengatakan kononnya ‘ini merupakan pendengaran awam yang bermotivasikan politik,’ katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS