BERITA

K'jaan wujudkan daftar penjenayah berkaitan kanak-kanak tahun depan

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Nov 2018, 9:03 pagi

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha menyediakan sistem baru bagi memantau penjenayah, terutama mereka yang didapati bersalah dalam keganasan dan jenayah seksual, paling lewat tahun depan.

Menterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah kerjasama antara kementeriannya dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan pihak-pihak lain antaranya mahkamah, polis dan jabatan penjara.

"Dengan sistem ini, sekolah, institusi kanak-kanak (seperti) taska dan pusat jagaan boleh mengemukakan permohonan semakan sebelum mengambil kakitangan, untuk memastikan individu yang ada rekod jenayah tidak diambil bekerja dalam industri berkaitan kanak-kanak," katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat semalam.

Wan Azizah kemudian memberitahu Malaysiakini kementeriannya dalam usaha untuk membolehkan sistem itu sedia digunakan pada tahun depan.

"Ini penting dan data sedang dikoordinasi dengan mahkamah, polis dan penjara.

"Pada mulanya, pekerja dan ibu bapa akan diberi akses tetapi kita perlu merangka perinciannya," katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Daftar kanak-kanak sudah diwujudkan bawah Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, tetapi laporan sebelum ini menyatakan kerajaan tidak akan membukanya kepada orang awam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh juga sebelum ini berkata kementerian itu sedang mengkaji untuk meminda akta itu untuk mengupayakan lagi daftar tersebut.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.