Most Read
Most Commented
Read more like this

Kongres Pendidikan Melayu hari ini bersetuju agar dasar-dasar yang memihak kepada orang Melayu yang telah dilaksanakan kerajaan selama ini "diteruskan dan tidak diganggu-gugat."

Ketika mengumumkan beberapa resolusi, seorang pengerusi bengkel Profesor Datuk Wan Hashim Wan Teh petang tadi berkata, dasar-dasar itu antaranya, peruntukan kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam bagi menjamin peluang pelajar Melayu meningkatkan pencapaian pendidikan mereka.

(Bulan lalu, kerajaan bercadang melaksanakan sistem merit di IPT mulai tahun depan dan saranan itu dianggap menggugat sistem kuota yang mengutamakan kaum Melayu dan bumiputera).

Kongres juga mencadangkan penubuhan sebuah badan bebas untuk mengkaji kelemahan pendidikan pelajar Melayu, seperti pencapaian rendah dalam bidang akademik, kegagalan melanjutkan ke peringkat IPT dan juga tahap penguasaan orang Melayu dalam bidang-bidang profesional dan sains teknologi.

Ia turut mencadangkan peruntukan kewangan yang lebih besar - kini disediakan untuk IPT - diagihkan di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi mengatasi masalah-masalah kemiskinan dan pembelajaran terutama di luar bandar. Kongres mengenal pasti kemiskinan turut memberikan kesan kepada pencapaian pelajar Melayu.

Kongres yang julung-julung kali diadakan di negara ini juga menyarankan sistem pendidikan di sekolah berasrama penuh (SBP) dikaji semula kerana pencapaiannya rendah berbanding sistem di maktab rendah sains Mara.

Sementara pendidikan guru disarankan dipertingkatkan lagi bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran mengajar yang secukupnya, antaranya dengan memanjangkan tempoh latihan. Sekarang, kursus pendidikan lepas ijazah selama enam bulan dan pengajian diploma di maktab-maktab selama tiga tahun.

Dua puluh sembilan resolusi dikemukakan hari ini hasil perbincangan tiga kertas kerja yang dibentangkan pada sebelah pagi.

Kertas kerja bertajuk 'Dasar dan Pelaksanaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan' dibentangkan oleh ketua pegawai eksekutif Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) Profesor Datuk Dr Syed Othman Al Habshi, 'Prestasi Pelajar Melayu-Bumiputera di peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT (Presiden Majlis Belia Malaysia, Saifuddin Abdullah) dan 'Pendidikan Agama untuk Pembangunan Insan' (Presiden Kolej Islam Darul Ehsan, Dr Zainuddin Jaafar).

Lebih 2,500 peserta, kebanyakannya guru dan kakitangan pendidikan, menghadiri persidangan dua hari yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kongres anjuran Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat dan Kumpulan Melayu Prihatin dirasmikan Perdana Menteri pagi tadi.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS