Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa meminta PAS menerima kekalahan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir baru-baru ini dengan hati terbuka dan tidak berterusan menuduh kerajaan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata tindakan PAS yang terus mendakwa kekalahan mereka adalah disebabkan persekongkolan itu dan adanya pengundi hantu menunjukkan parti itu sebenarnya tidak matang berpolitik.

"PAS tidak akur dengan konsep demokrasi dan mahu menunjukkan seolah-olah kerajaan dan SPR berkonspirasi hanya nak bagi BN menang," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Menurut laporan Bernama, Annuar berkata negara luar sudah mengakui perjalanan pilihan raya di Malaysia adalah antara yang terbaik dan telus.

Katanya apa yang dilakukan PAS itu adalah sesuatu yang berat dan menafikan konsep demokrasi itu sendiri.

"BN pernah tewas termasuk saya yang tewas teruk dan tiada masalah untuk kita terima hakikat itu dan tidak ada pula kita mahu memprotes seperti apa yang PAS buat ini," katanya.

Pengundi hantu

Beliau juga berkata isu pengundi hantu itu hanya rekaan PAS semata-mata dan untuk dijadikan alasan apabila tewas.

Katanya Umno Kelantan akan menyerahkan satu kertas kerja yang pernah dibentangkan PAS pada satu seminar Mei tahun lalu kepada polis yang ketika itu membincangkan isu pengundi hantu.

"Mereka dah bincang awal mengenai pengundi hantu dan saya yakin polis akan mendapat maklumat sebenar isu yang ditimbulkan PAS itu," katanya.

Menurutnya PAS juga sebenarnya mengaibkan individu tertentu apabila mendakwa ia adalah pengundi hantu seperti tersiar dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.

Utusan Malaysia menyiarkan kekecewaan Ketua Pemuda Umno cawangan Banggol Ara, Pasir Mas yang kesal dengan tindakan pihak tertentu menyebarkan gambar anak saudaranya sebagai "hantu muda" dipercayai untuk mengaitkannya sebagai pengundi hantu sedangkan pada hakikatnya beliau adalah pengundi berdaftar DUN tersebut.