Allahyarham Moorthy dinaikkan pangkat Sarjan
Pendaki Gunung Everest negara, Allahyarham Mohamad bin Abdullah atau asalnya M.Moorthy, komando tentera yang kematiannya bulan lepas menimbulkan kekecohan kerana status agamanya, telah dinaikkan pangkat dari koperal ke sarjan secara "posthumous" (selepas kematian) berkuatkuasa Jun tahun lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang mengumumkannya hari ini, berkata tarikh penguatkuasaan kenaikan pangkat itu dikebelakangkan ke Jun 2005 untuk membolehkan beliau disahkan dalam jawatan sebagai sarjan.
"Ini bererti pencennya akan juga diubah mengikut pencen pangkat sarjan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan balu Mohamad, S.Kaliammal yang diiringi anak mereka Thenesvari, anak saudara Mohamad, Chandran Periasamy, dan adik Kaliammal, Shangalingam, di pejabatnya di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, dalam pertemuan itu, Najib yang juga Menteri Pertahanan, menyerahkan cek pampasan RM110,000 dan pencen bulanan Mohamad sebanyak RM947.33 kepada Kaliammal.
Katanya pemberian faedah kematian itu adalah sebagai penghargaan istimewa kerajaan bagi mengiktiraf jasa Mohamad sebagai seorang wira negara.
Bantuan kematian
Timbalan Perdana Menteri berkata abang Mohamad, Mohd Hussin Abdullah, telah menyatakan persetujuan untuk tidak menuntut sebarang faedah yang bakal diterima keluarga Allahyarham.
"Abang beliau bersetuju untuk tidak menuntut apa-apa faedah daripada bantuan kematian yang bakal diterima oleh keluarga adiknya, walaupun daripada segi undang-undang Islam beliau ada hak untuk menuntut.
"Tetapi beliau telah memberi pengesahan secara hitam putih untuk tidak mahu menuntut apa-apa faedah supaya keluarga isteri dan anaknya akan dapat semua faedah dan bantuan kematian," kata Najib.
Mohamad, 36, telah dikebumikan secara Islam pada Rabu lepas setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonan Kaliammal agar jenazah suaminya itu disemadikan mengikut adat agama Hindu dengan alasan bahawa beliau tidak tahu suaminya itu telah memeluk agama Islam sebelum kematiannya pada 20 Disember lepas.
Hakim Datuk Md Raus Sharif yang mendengar kes itu berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu kerana perkara itu telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
Najib berkata kerajaan menganggap isu berhubung kematian Mohamad itu telah selesai.