Dr M dan Tengku Mahaleel persoal penjualan MV Agusta

   

Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pengeluar kereta nasional itu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff mempersoalkan rasional di sebalik penjualan MV Agusta Motors S.p.A oleh Proton dengan harga satu Euro (RM4.50).

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, mereka turut mengutarakan beberapa soalan berhubung penjualan yang telah diumumkan oleh Proton Holdings Bhd kepada Bursa Malaysia minggu lalu.

Antaranya soalan yang diutarakan ialah siapakah yang telah menawar untuk menjual atau membeli kepentingan itu pada harga satu Euro, sama ada terdapat pembida lain dan adakah terdapat sebarang usaha agar pembeli membayar pada harga yang tinggi.

Soalan lain ialah adakah pengumuman dibuat mengenai penjualan MV Agusta, adakah Proton hanya mendekati satu pembida sahaja dan jika pembida lain ditawarkan, adakan mereka menolaknya?

Mereka juga mahu tahu siapakah yang membuat keputusan untuk menjual dan penjelasan daripada Proton bagaimana dengan menjual sebuah entiti yang dibeli pada harga 70 juta Euro (RM315 juta) dengan harga satu Euro tidak boleh menyebabkan Proton menanggung kerugian seperti mana yang didakwa.

Proton Holdings Bhd telah mengumumkan yang anak syarikat milik penuhnya Proton Capital Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian dengan GEVI S.p.A., untuk menjual MV Agusta. Proton Capital mempunyai kepentingan bersama sebanyak 57.75 peratus dalam MV Agusta.

Tamat perkhidmatan

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak terlibat di dalam membuat keputusan Menjual kepentingan Proton dalam syarikat pembuat motosikal Itali itu.

MV Agusta, pereka bentuk dan pengeluar motosikal Agusta, Cagiva dan Husqvarna yang terkenal tetapi bermasalah, telah dibeli oleh Proton dalam tahun 2004. Agusta F4 1000 Tamburini telah diiktiraf sebagai motosikal sukan terbaik di dunia.

Dr Mahathiri dan Tengku Mahaleel, yang tempoh perkhidmatannya dengan Proton tamat pada akhir bulan September tahun lepas berkata Proton perlu menjelaskan kepada para pemegang saham dan orang ramai mengenai perkara itu.

Memandangkan kedua-dua mereka yang paling terlibat dalam pembelian itu, Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel berkata kewibawaan dan kejujuran mereka telah dipersoalkan. "Kami mahukan jawapan yang betul. Orang ramai juga mungkin mahu tahu memandangkan Proton ialah sebuah projek Nasional."

Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel merasakan yang kerugian dialami oleh Proton berikutan penjualan itu sepatutnya ialah RM315 juta, kurang RM4.50.

"Diandaikan yang ini boleh melepaskan Proton daripada membayar kerugian yang dialami oleh MV Agusta dalam tempoh 15 bulan pada Euro 26.87 juta (RM131 juta), ia masih lagi kerugian harga belian 70 juta euro dengan menjual pada harga satu Euro."

Ekoran penjualan ini, mereka berkata kini tidak ada kemungkinan yang Proton boleh memulihkan syarikat dan mendapatkan semula harga beliannya, apa lagi membuat keuntungan.

"Sudah pastinya, Proton kini boleh akses kepada teknologi kejuruteraan MV Agusta."

Mereka menambah Proton membeli MV Agusta dengan mengetahui sepenuhnya yang ia mempunyai hutang sebanyak 230 juta euro, yang mana ia tidak perlu membayarnya untuk tiga tahun.

Hutang lapuk

Selain daripada itu, MV Agusta mempunyai aset iaitu dua buah kilang (di Cassinetta dan Morazzone) dan stok motosikal.

"Syarikat-syarikat automotif yang rugi seperti Rolls Royce, Bentley, Skoda, Lamborghini, Aston Martin dan banyak lagi telah dibeli oleh syarikat-syarikat besar dan telah dapat dipulihkan semula.

"Tetapi harga mencerminkan aset dan jenama. Setakat yang kita tahu, syarikat-syarikat ini tidak dijual pada harga satu euro," kata Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel sambil memaklumkan yang empat jenama MV Agusta mempunyai nilai-nilai yang tinggi.

Mengenai keupayaan Proton untuk memulihkan semula MV Agusta, mereka berkata pembinaan kilang bernilai RM1.8 bilion di Tanjung Malim tanpa pinjaman dan suntikan modal dari kerajaan, dan masih ada baki tunai melebihi RM2 bilion menunjukkan Proton sebuah syarikat yang menguntungkan dan ia tahu mengenai pengurusan yang boleh membawa keuntungan.

Merujuk kepada kerugian yang dialami Proton baru-baru ini yang dikata disebabkan oleh peruntukan yang dibuat untuk pinjaman MV Agusta, Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel mendakwa CEO Proton Edar Datuk Maruan Mohd Said pada persidangan akhbar yang diadakan mengakui diskaun yang diberikan oleh Proton telah menjejaskan keuntungan Proton.

"Malangnya, tiada angka diberikan. Tetapi nampaknya sejumlah 54,000 kereta telah dijual dalam tiga bulan dengan rebat dan jumlah diskaun yang besar termasuklah pendaftaran secara percuma, insurans percuma, pembayaran ansuran pertama percuma untuk tiga bulan dan servis percuma.

"Secara kasarnya, diskaun untuk setiap kereta ialah sekitar RM2,000 atau lebih. Pada nilai RM2,000 ke atas 54,000 kereta, Proton akan melepaskan RM108 juta. Peningkatan jumlah kereta yang dijual tidak boleh menggantikan jumlah yang hilang."

Kerugian

Menjelaskan yang angka-angka ini sebagai gambaran satu strategi yang gagal, Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel berkata sebaliknya kerugian itu dikaitkan dengan hutang MV Agusta.

"Apabila peruntukan dibuat untuk hutang lapuk, ia tidak semestinya bermakna ia tidak boleh didapatkan semula. Selain daripada itu bagaimanakah jumlah itu ditentukan?

"Hutang MV Agusta telah dibekukan dalam apa carapun dan tidak perlu dibayar serta merta. Adakah jumlah yang diberikan telah dibayar untuk mengurangkan hutang MV Agusta ataupun adakah masih lagi berada dengan Proton apabila MV Agusta dijual pada satu Euro?" soal mereka.

Sementara itu, mereka turut mempertikaikan penjualan MV Agusta kepada Gevi S.p.A memandangkan syarikat itu (Gevi) bukanlah satu nama besar dalam industri automotif.

"Adakah ia sebuah syarikat motosikal yang berkeyakinan bahawa ia boleh memulihkan MV Agusta, sesuatu yang penjualan oleh Proton membayangkan bahawa Proton tidak mempunyai kapasiti atau keupayaan untuk memulihkannya?

"Tanpa perlu membayar 70 juta euro adalah satu keuntungan untuk Gevi, kata mereka.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In