Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empangan Sembrong masih selamat dan berfungsi seperti biasa - Exco
Diterbitkan:  Nov 22, 2018 8:16 AM
Dikemaskini: 12:16 AM

Kerajaan Negeri Johor menafikan khabar angin bahawa banjir akan melanda kawasan di sekitar Empangan Sembrong, Ayer Hitam.

Menafikan khabar angin itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal turut mengesahkan empangan itu selamat dan masih berfungsi seperti biasa.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar orang ramai bertenang dan tidak terpengaruh dengan mesej dan video yang tular di aplikasi WhatsApp semalam mendakwa banjir akan melanda berikutan keadaan kritikal empangan tersebut.

Dr Sahruddin berkata pihak kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan semasa yang melibatkan kesejahteraan orang ramai di samping menggesa pihak tidak bertangungjawab berhenti menularkan mesej-mesej palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Insya-Allah (keadaan empangan) terjamin. Semua agensi berkaitan sentiasa memantau sepanjang masa,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesahihan mesej berkenaan serta faktor keselamatan penduduk di sekitar Empangan Sembrong.

“Jangan panik. Isu ini dalam perhatian pihak berkuasa. Setiap mesej (yang dipanjangkan) hendaklah diselidik dahulu. Jangan kita tularkan mesej yang kita sendiri tidak pasti kesahihannya.

Sebarang perkembangan berkaitan hal ini akan kita maklumkan dari masa ke masa,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu.

Isu itu bermula daripada satu edaran dalaman rasmi kepada anggota Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor yang berbunyi pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor terpaksa melepaskan air dari Empangan Sembrong bagi mengurangkan tekanan kepada struktur dindingnya.

Edaran berkenaan turut menyebut tindakan melepaskan air itu juga akan menyebabkan beberapa kawasan rendah di hilir empangan seperti di Kampung Sawah Sagil dan sekitarnya akan dimasuki air.

Bernama difahamkan kenyataan “dimasuki air” tersebut bukanlah sesuatu yang serius dan hanyalah makluman dari JPS kepada agensi-agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor.

Edaran tersebut bagaimanapun diolah pihak tidak bertanggungjawab dan disebarkan kepada orang ramai tanpa merujuk konteks sebenar.

Edaran itu turut diedarkan bersama sebuah video dan beberapa keping gambar mendakwa banjir akan melanda berikutan empangan itu didakwa retak.

Bernama bagaimanapun difahamkan tindakan melepaskan air dari empangan tersebut telahpun dibuat dua malam lepas, iaitu pada 19 November, tanpa sebarang kesan buruk.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS