Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman pemula oleh seorang pengundi Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff yang mencabar kesahihan pencalonan presiden PKR, Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil parlimen berkenaan.
Hakim Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas Noraziah gagal hadir di mahkamah hari ini.
Beliau sebelum ini menetapkan tarikh hari ini bagi Noraziah mencabar kesahihan pencalonan Anwar berikutan status pengampunan dirajanya dipertikaikan.
Pada sesi sebelum ini Azizah membenarkan permohonan peguam M Reza Hassan untuk menarik diri daripada mewakili Noraziah.
Peguam Anwar J Leela ketika dihubungi Malaysiakini hari ini memberitahu bahawa plaintif tidak muncul di mahkamah.
"Mahkamah membatalkan saman pemulanya tanpa memerintahkan sebarang kos," kata Leela.
Noraziah memfailkan permohonan itu pada 28 Sept lepas di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.
Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.
Noraziah turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen.
Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.
Anwar memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Oktober dengan memperoleh 23,560 undi majoriti.
