Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Di saat bekas perdana menteri, Najib Razak belum lagi didakwa atas kesalahan 1MDB, bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin (KJ) terus memanaskan isu 1MDB sebagai punca BN kalah pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Motifnya jelas, iaitu untuk menyalahkan Najib seorang sahaja. KJ secara automatik sudah menjadi aset kepada Pakatan Harapan (PH).

Mudah cerita, pada KJ ia kesalahan individu bukan kolektif. Memahami KJ dia memang tidak ada spirit collective responsibility. Sebab itu apabila seluruh ahli parlimen BN keluar Dewan kerana memprotes perlantikan speaker Dewan Rakyat, KJ duduk membatu di dalam dewan.

Malang sekali KJ menggunakan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sebagai asas untuk mengatakan Najib bersalah. Sebenarnya KJ lebih advance daripada peguam negara (AG) dan hakim yang belum mendakwa apatah lagi menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib dalam isu 1MDB.

Hingga ke hari ini, 1MDB tetap mengatakan tiada duit syarikat yang hilang atau dicuri. Kalau ada pihak yang menipu syarikat atau bank yang ada urusan dengan 1MDB seperti International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Goldman Sachs itu adalah masalah mereka dengan IPIC dan Goldman. Sebab itu 1MDB tidak pernah disiasat atau dipanggil oleh DOJ.

Berbalik kepada pendirian KJ, apakah beliau boleh terima kenyataan bahawa punca kejatuhan BN sebenarnya bermula dari zaman Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) lagi? Ketika itu “budak tingkat 4” (termasuk KJ) cukup berkuasa.

Apakah KJ mahu mengatakan itu adalah persepsi. Silap, itulah adalah realiti.

Contoh, bagaimana bekas MB Johor , Abd Ghani Othman diarah mengadap Ahmad Zaki Zahid (budak tingkat 4) untuk mendengar taklimat pelaksanaan projek Koridor Selatan (Iskandar Malaysia). Bayangkan, seorang MB diarah mengadap budak mentah yang bukan pun CEO atau KSU.

Cerita budak tingkat 4 menguasai PMO menjadi bahan kempen untuk menjatuhkan Pak Lah. Dan terbukti pada PRU12 (2008) BN kehilangan empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak selain gagal menawan balik Kelantan.

Bukan itu sahaja BN juga hilang majoriti dua pertiga. Selangor dan Pulau Pinang tidak pernah dapat ditawan semula kecuali Perak dan Kedah pada PRU13. Maka punca sebenar kekalahan Umno bermula dari zaman “budak tingkat 4” di mana KJ adalah seorang daripada mereka.

Semoga KJ tidak mengamalkan denial syndromes. Itulah realiti. Kisah budak tingkat 4 adalah bahan kempen kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Pak Lah tetapi implikasi buruknya kepada Umno. Sudikah KJ menerima realiti ini.

Kalau politik baru adalah pencarian KJ, maka dia perlu tinggalkan politik populist seperti stokin merah dan sebagainya. Politik populist sudah tidak relevan di saat Umno kalah. Yang diperlukan ialah team spirit, collective responsibility, berjamaah, patuh kepada arahan ketua, musyawarah dan menggunakan kaedah maslahah.

Politik populist tiada substance. Penuh keegoan dan artificial. Apakah KJ sanggup diuji sebagaimana Najib diuji dengan 38 pertuduhan dan banyak lagi.

Tetapi KJ tidak perlu gusar. Dia bukan lagi ancaman kepada Dr Mahathir. Dia sudah menjadi aset. Maka mana mungkin nasibnya akan sama dengan Najib iaitu menerima puluhan dakwaan.


DATUK MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno dan ketua bahagian Umno Batu Pahat. Beliau juga adalah bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS