Saranan Menteri Pelajaran Maszlee Malik supaya hotel yang mempunyai kolam renang membantu memudahkan pihak sekolah menyediakan aktiviti renang untuk para bukan cadangan yang baik, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Akhbar The Star, memetik Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng sebagai berkata keselamatan adalah kebimbangan utama apabila ia membabitkan akses sekolah ke kolam renang hotel.
"Kebanyakannya, jika tidak semua, kolam renang di hotel bertujuan untuk aktiviti santai.
"Ini bermakna ia tidak dibina dengan saiz, kedalaman dan reka bentuk yang diperlukan untuk pelajaran renang, terutamanya bukan untuk kumpulan kanak-kanak.
"Walaupun ada hotel yang kini telah menyediakan kemudahan mereka untuk aktiviti sekolah terpilih secara ad hoc sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), kebanyakan kolam renang hotel tidak direka untuk pelajaran renang, terutamanya untuk kanak-kanak," katanya.
Maszlee dilapor berkata, mulai tahun depan kegiatan kokurikulum belajar berenang bakal diperkenalkan kepada murid sekolah dalam usaha kementerian mempersiapkan mereka dengan kemahiran itu, sekali gus menangani insiden lemas.
Katanya, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak hotel mengenai perkara itu supaya ia ditawarkan sebagai salah satu tanggunjawab CSR mereka.
Mengulas lanjut, Yap menambah bahawa terdapat juga kebimbangan aksesibiliti kerana kemudahan hotel dibayar oleh pelancong dan oleh itu ia didedikasikan untuk kegunaan eksklusif mereka.
"Daripada sudut pandangan pelancongan, ia boleh menimbulkan kesan negatif kepada pelancong," katanya.
