Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Scomi janji lunaskan gaji lepas struktur semula kewangan
Diterbitkan:  Nov 22, 2018 7:41 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Scomi Group Sdn Bhd hari ini mengakui pihaknya kini sedang melaksanakan penstrukturan semula kewangan bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Menerusi kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Scomi berkata pihaknya dalam proses penempatan semula saham baru dan ia dijangka selesai tidak lama lagi.

Perkara itu timbul selepas pekerja anak syarikatnya, Scomi Engineering Bhd (SEB) menerusi sidang media hari ini mendakwa tidak mendapat bayaran gaji sejak enam bulan lalu.

“Scomi juga berusaha untuk meningkatkan kutipan dari para pelanggan terutamanya dari bidang perniagaan pengangkutannya di SEB.

“SEB sedang dalam rundingan dengan beberapa pelanggannya untuk menyelesaikan beberapa isu mengenai kutipan yang tertunggak.

“Bila rundingan ini selesai kedudukan kewangan syarikat akan bertambah baik.

“Seterusnya, ini akan membolehkan syarikat menyelesaikan pelbagai isu terutamanya berkaitan dengan tunggakan bayaran kepada kakitangannya,” kata Scomi Group.

Dalam sidang media pekerja SEB pagi ini, jurucakap pekerja Saiful Affendee Mohd Rais mendakwa kehidupan lebih 100 pekerja syarikat kejuruteraan tempatan itu terjejas selepas tidak mendapat bayaran gaji sejak Jun lalu yang dianggarkan sebanyak RM1.8 juta.

Selain itu, syarikat berkenaan juga membuat pemotongan gaji pekerja tanpa mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Jan tahun 2017.

“Aduan terhadap pihak majikan dan berwajib telah dibuat sama ada secara berkumpulan mahupun individu, namun pihak majikan masih gagal memenuhi tunggakan pembayaran gaji kami.

“Kami sebagai pekerja mula dihubungi pihak berwajib terutamanya LHDN dan juga pihak bank untuk bayaran pembiayaan yang tertunggak,” katanya dalam sidang media di sebuah restoran Kuala Lumpur, hari ini.

Saiful yang telah berkhidmat selama 27 tahun turut mendesak supaya syarikat berkenaan memberi kata putus berkaitan status mereka dan melunaskan gaji yang tertunggak.

Menurutnya, pihak pekerja juga sudah membuat aduan bertulis di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Ogos lalu dan satu perjumpaan berkumpulan akan diadakan Isnin ini jam 10 pagi untuk perbincangan lanjut.

Saiful berkata, demi kelangsungan hidup, ada antara pekerja tersebut kini terpaksa bekerja sebagai pemotong rumput dan bekerja dengan syarikat e-hailing.

“Ada yang terpaksa menyerahkan hak milik kenderaan, kediaman, menggadaikan harta yang ada demi kelangsungan hidup dan ada juga sesetengah dari kami yang sudah dalam proses disenaraikan sebagai bankrap,” katanya.

Saiful juga berharap campur tangan kerajaan dan tidak menyeraihitamkan syarikat berkenaan supaya pihak tersebut dapat melunaskan gaji pekerja.

Lihat Komen
ADS