Bekas pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abu Bakar Mohd Yusof dijatuhi hukuman penjara 26 bulan dan denda RM133,326.40 selepas didapati bersalah menerima suapan berbentuk penginapan hotel serta wang tunai RM20,000 daripada pemilik sebuah syarikat, antara 2014 dan 2015.
Hakim Rozilah Salleh turut menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan dan denda RM222,500 ke atas bekas pelukis pelan di jabatan itu, Mohd Nasir Mohd Isa kerana menerima suapan berbentuk penginapan hotel dan wang tunai RM40,500 daripada pemilik syarikat yang sama.
Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati keterangan saksi-saksi pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, malah telah mengukuhkan kes pendakwaan secara keseluruhannya.
"Saya sebenarnya bersimpati atas faktor usia dan kesihatan tertuduh, namun sebagaimana yang anda tahu kesalahan yang dilakukan amat serius. Rasuah merupakan jenayah akhir zaman, kita tidak nampak mangsa siapa.
"Ini pengadilan di dunia dan saya buat keputusan berdasarkan keterangan saksi. Saya harap kalau panjang umur jangan buat lagi sebab masing-masing akan diadili dengan lebih terperinci (di akhirat) jika pengadilan di sini (dunia) tidak rapi. Saya harap hukuman ini dapat beri keinsafan dan mencukupi di dunia serta dijadikan iktibar supaya Allah mengampunkan segala dosa kita," katanya.
Hakim Rozilah dalam pada itu memerintahkan Abu Bakar, 63, dipenjara 26 bulan lagi manakala Mohd Nasir, 47, dipenjara 42 bulan lagi sekiranya mereka gagal membayar denda.
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan syarat kedua-dua tertuduh memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya pukul 3 petang ini, selain menaikkan jumlah wang jaminan Abu Bakar kepada RM36,000 dan Mohd Nasir kepada RM44,000.
Mengikut pertuduhan, Abu Bakar didakwa menerima suapan berbentuk penginapan di sebuah hotel di Sepang bernilai RM2,097.28 dan penginapan di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan bernilai RM4,568 selain didakwa bersama-sama Mohd Nasir menerima suapan wang tunai RM20,000.
Mohd Nasir pula didakwa menerima suapan berbentuk penginapan di dua hotel yang sama bernilai RM2,674.80, suapan wang tunai RM10,500 dan RM10,000 serta suapan wang tunai RM20,000 yang diterimanya bersama Abu Bakar.
Kesemua suapan yang diterima daripada pemilik Syarikat Warna Generasi Sdn Bhd, Mazlan Jamaluddin adalah sebagai dorongan untuk melantik syarikat itu melaksanakan kontrak kerja pengeluaran bahan batuan, pasir dan mendapan di Empangan Batu serta tidak mengganggu dan mengekalkan kontrak kerja-kerja tersebut yang dibuat oleh syarikat berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan Port Dickson, antara 29 Nov 2014 hingga 14 Jun 2015, serta dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohammed Heikal Ismail mengemukakan 19 saksi sementara pihak pembelaan yang diwakili peguam Fozi Addhwa Mohamad Fozi dan Ainur Azalia Ayoub memanggil tiga saksi.
- Bernama
