Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan: Laporan audit 1MDB dipinda atas arahan Najib
Diterbitkan:  Nov 23, 2018 9:19 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Laporan ketua audit negara mengenai 1MDB pada 2016 telah "dipinda" atas arahan perdana menteri ketika itu Najib Razak, menurut Utusan Malaysia.

Memetik sumber, akhbar harian milik Umno itu melaporkan pindaan yang melibatkan mengeluarkan maklumat berkaitan Najib dan Jho Low.

"Menurut sumber, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas perdana menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.

"Pindaan itu, tambah sumber berkenaan, difahamkan dibuat dalam satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.

"Sumber tersebut memberitahu, laporan asal itu mendedahkan bahawa Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB," lapor akhbar itu.

Beberapa pegawai kanan kerajaan turut hadir sama pada mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri itu.

'Mungkin ditipu Jho Low'

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas dari pejabat Najib mengenai dakwaan ini.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad akan menyerahkan laporan audit "asal" mengenai 1MDB pada bulan depan, kata Utusan lagi.

Semalam, Najib memberitahu Sinar Harian dalam wawancara bahawa pentadbirannya mungkin telah ditipu oleh Low berdasarkan maklumat yang diketahui kini.

Pentadbiran Najib telah lama mempertahankan Low tidak ada kaitan dengan 1MDB, walaupun terdapat bukti yang dikemukakan pihak berkuasa negara lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Low didapati telah memainkan peranan utama dalam mendapatkan perkhidmatan bank Goldman Sachs untuk memudahkan pengeluaran bon pinjaman berjumlah berbilion ringgit untuk 1MDB.

Low berhadapan pertuduhan mengubah wang haram di Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat.

Najib, yang juga bekas penasihat 1MDB dengan kuasa eksekutif, kini antara lainnya turut dikenakan pertuduhan pengubahan wang haram di Malaysia.

Lihat Komen
ADS