Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nasrudin: Bukan Icerd saja, konvensyen lain PBB juga ancam negara

Selepas kerajaan menyatakan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan mempersoalkan sama ada kerajaan akan menandatangani konvensyen PBB yang lain.

Antara yang disebutnya ialah Konvensyen Mengenai Penyeksaan dan Layanan serta Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah (Uncat) - yang bertujuan menghalang hukuman berbentuk penyiksaan dan melanggar hak asasi manusia.

Empat lagi konvensyen PBB yang belum ditandatangani Malaysia dan dibangkitkan Nasrudin ialah Konvensyen Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka; Konvensyen Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa; dan Konvensyen Mengenai Status Pelarian.

Selain Icerd, beliau berkata kesemua konvensyen PBB lain turut membawa risiko besar kepada negara.

"Saya lihat kenyataan pendek (pejabat perdana menteri) sebelum ini, mereka tidak mahu ratifikasi Icerd. Persoalan saya bagaimana lima (konvensyen) yang lain? Apakah lima yang lain itu tidak beri ancaman kepada negara?

"Ada beberapa butiran yang menunjukkan kita tidak boleh saja tolak Icerd, lima perjanjian (konvensyen) lain juga ada risiko besar," katanya ketika berucap dalam Kongres Tolak Icerd di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya tak mahu ada manipulasi - iaitu mereka nanti akan teruskan konvensyen yang lain," katanya lagi.

Beliau berkata ini kerana ada gesaan beberapa pihak sebelum ini - termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) - agar kerajaan mengambil langkah menandatangi konvensyen PBB yang lain.

Gesaan Suhakam itu selepas kerajaan Terengganu melaksanakan hukuman sebat terhadap pasangan lesbian September lalu.

"Kenyataan Suhakam menyifatkan hukuman sebat itu bercanggah dengan salah satu konvensyen PBB, dan mereka desak mansuhkan semua hukuman berkaitan agar dapat ikut kehendak undang-undang antarabangsa.

"Jadi sudah ada desakan dan bukan berkaitan Icerd saja...apabila ia diratifikasi, mahu atau tidak konvensyen itu akan mencengkam negara," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS