Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya bernasib baik belum didakwa kes liwat
Diterbitkan:  Nov 25, 2018 11:47 PM
Dikemaskini: 4:11 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini secara sinis berkata, beliau "bernasib baik" kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah dimansuhkan dan tidak berdepan dakwaan kes liwat.

Kenyataan melalui Facebook itu dibuat sebagai mengulas pendedahan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad yang mendakwa Najib mengarahkan laporan audit 1MDB dipinda.

"Amat ketara bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menggunakan segala kuasa kerajaan, agensi kerajaan dan media di bawah kawalan mereka untuk terus mempengaruhi pemikiran rakyat demi memburukkan nama saya biarpun kes 1MDB menunggu perbicaraan di mahkamah.

"[...] Saya bernasib baik bahawa ISA telah dimansuhkan dan saya masih belum didakwa terlibat dalam kes liwat," katanya.

Dalam kenyataan itu, Najib menegaskan bahawa maklumat yang dikeluarkan dari laporan audit 1MDB yang didakwa atas arahan setiausaha sulitnya pada 2016, bukan perkara baru.

Beliau menafikan ia sebagai percubaan untuk menutup sesuatu berhubung skandal 1MDB.

Beliau mengulangi kenyataan peguamnya bahawa maklumat mengenai kehadiran ahli perniagaan Jho Low dalam lembaga mesyuarat 1MDB sudah dilaporkan sejak 2015.

Jho Low merupakan antara individu utama yang dikaitkan dalam skandal berbilion ringgit yang didakwa melibatkan penyelewengan dana 1MDB. Najib kini sedang menunggu perbicaraan berhubung dana kerajaan Malaysia berkenaan.

Awal hari ini, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad (gambar) mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 22 Nov 2016 mengarahkan Ambrin Buang, yang merupakan ketua audit negara ketika itu, meminda laporan audit 1MDB.

Madinah turut mendedahkan setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh turut mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Jho Low dalam laporan itu dikeluarkan.

Anwar Ibrahim dipenjarakan dan berdepan kes liwat pada tempoh Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kali pertama.

Kedua seteru politik itu akhirnya berdamai semula dan Anwar kini dijangka menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kemenangan PH, Mahathir mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar yang menjalani hukuman penjara kali kedua bagi kes liwat pada 2015, ketika Najib menjadi perdana menteri.

Anwar menafikan tuduhan liwat itu dan menyifatkannya bermotifkan politik.

Lihat Komen
ADS