Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Lagu Rukun Negara akan digubah
Published:  Jan 5, 2006 3:45 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Lagu Rukun Negara akan digubah bagi membolehkan masyarakat negara ini mengamalkan prinsip-prinsipnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili.

Katanya, jika lagu Rukun Negara dapat dinyanyikan, ia boleh dijadikan sebagai pedoman hidup dan cara hidup dan tidak hanya diketahui di bibir sahaja.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah melantik seorang perunding iaitu komposer lagu Datuk Wah Idris untuk mengubah lagu Rukun Negara itu sejak beberapa bulan lalu.

Wah telah menyediakan dua tiga bentuk irama bagi lagu Rukun Negara itu untuk dipertimbangkan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Awal Tahun Kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Shah Alam hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, lagu Rukun Negara itu akan diperdengarkan kepada kabinet bulan depan bagi mendapatkan persetujuan jemaah menteri.

Teras perpaduan

Buat permulaan, katanya, lagu Rukun Negara akan didendangkan dan berkemundang di semua majlis dan program perpaduan yang dianggarkan kira-kira 72,000 program setahun.

Setakat ini, kata beliau, masih belum ada cadangan agar lagu Rukun Negara akan dinyanyikan di sekolah.

Ongkili berkata, Dasar Perpaduan Negara tidak perlu digubal memandangkan Rukun Negara merupakan tonggak dan teras perpaduan di samping dasar negara sedia ada yang sememangnya mempunyai matlamat perpaduan seperti pendidikan, sukan, Wawasan 2020 dan sosial negara.

Menurutnya, petikan dari dasar tersebut yang mempromosikan perpaduan akan dikumpulkan dalam buku kecil.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan penubuhan Institut Kajian Dan Latihan Integrasi Nasional yang akan mengendalikan kursus dan latihan kepada warga kerja JPNIN dan pemimpin Rukun Tetangga bagi meningkatkan kompetensi mereka.

Institut itu diwujudkan selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat serta menyumbang kepada matlamat mewujudkan pemimpin berilmu, katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS