BERITA

Isu kuil: Abim, Isma gesa semua pihak bertenang

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Nov 2018, 3:24 petang

Dua NGO Islam hari ini menggesa semua pihak agar kekal bertenang dalam mendepani isu rusuhan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, semalam.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, rusuhan itu bukanlah perbalahan antara kaum, sebaliknya pertikaian antara pihak kuil dan syarikat swasta.

Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata, rusuhan itu tidak sepatutnya berlaku jika ia ditangani secara berhemah dan melalui perbincangan.

"Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segara antara pemaju dan pentadbiran kuil itu," katanya seperti dipetik laman Ismaweb.

Presiden Abim Mohamad Raimi Ab Rahim pula berkata rakyat tidak harus terperangkap dengan prasangka perkauman yang cuba diapi-apikan mana-mana pihak.

"Ini berdasarkan pengamatan terhadap beberapa polemik yang cuba disemarakkan dengan sentimen perkauman sebelum ini, yang boleh merebak jika tidak dikawal.

"Kami menggesa semua pihak agar memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan isu tersebut di samping mengawal keadaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berharap pihak berkuasa dapat memberikan kemas kini terhadap perkembangan isu itu bagi mengelakkan tersebarnya maklumat palsu terutama di media sosial.

Dalam kejadian awal pagi tadi, himpunan yang pada mulanya aman di sekitar kuil itu bertukar ganas menyebabkan 23 kenderaan dibakar atau dirosakkan serta sebuah lori bomba yang dirosakkan.

Setakat ini, 19 individu - termasuk tiga pekerja syarikat yang terlibat dalam pertikaian itu - telah direman.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.