Paling Popular
Terkini

Exco Selangor V Ganabatirau akhirnya membuat permohonan maaf terbuka kerana pernah mengaitkan “kumpulan orang Islam” sebagai penceroboh di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

"Bagaimanapun selepas mendapat nasihat banyak pihak khususnya barisan kerajaan dan pembangkang saya telah menukar kenyataan saya daripada kumpulan Islam kepada kumpulan gengster.

“Dan saya juga ingin mohon maaf kerana menyinggung perasaan mana-mana pihak," katanya ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Ganabatirau pada Isnin menggunakan Facebook untuk menyatakan pandangannya berhubung kekecohan di kuil berkenaan.

Katanya terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mengganggu keharmonian kaum di negara ini.

Beliau bagaimanapun mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan ia sebagai rasis.

Untuk rekod tapak kuil berkenaan kini menjadi milik sebuah syarikat pemaju yang sudah mendapat perintah mahkamah supaya penghuninya berpindah.

Sementara itu, ketua pembangkang Selangor Rizam Ismail dalam sidang medianya di lobi bangunan setiausaha kerajaan negeri berkata pihaknya menyambut baik permohonan maaf itu.

Bagaimanapun, beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berharap perkara sedemikian tidak berulang.

“Kes ini kes terpencil antara pemaju dan pihak kuil.

“Tetapi kerana ada kesilapan kenyataan yang akhirnya menyebabkan salah faham sehingga mewujudkan huru-hara hingga menyebabkan kerosakan dan kecederaan kepada orang awam serta pihak berkuasa.

“Kita di pihak pembangkang meminta kerajaan agar memastikan tidak berlaku lagi seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, Rizam berkata pembangkang Selangor menuntut menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional P Waythamoorthy memainkan peranannya.

“Walaupun sudah ada beberapa kenyataan tapi saya rasa beliau perlu lebih bertanggungjawab untuk redakan keadaan agar tidak berlaku salah faham antara kaum di negara kita,” tegasnya.

Dalam sidang media sama, ADUN Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin menyifatkan tindakan empat anggota kabinet terutamanya Waythamoorthy yang menyalahkan polis berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman adalah tidak bertanggungjawab.

“Sepatutnya beliau melihat perkara ini dengan skop yang lebih luas. Jangan beliau sempitkan skop dia terhadap kaum India sahaja,” katanya.

Empat menteri pada 26 November lalu yang membidas kenyataan polis Subang Jaya berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri R Sivarasa mahu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat polis Subang Jaya dan tindakan disiplin diambil terhadap mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS