Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas sebuah syarikat milik asing yang dikatakan terlibat dalam pertikaian di kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Putra Heights yang menurutnya bertindak tanpa berfikir.
Beliau mengulas dakwaan bahawa peguam syarikat berkenaan telah mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh kuil itu pada pagi Isnin, sehingga mencetuskan rusuhan selama dua malam berturut-turut.
“Perbuatan itu salah. Suruh orang Melayu nak jaga kuil Hindu itu perbuatan tak berfikir.
“Mereka itu orang asing tak faham (budaya) orang Malaysia. Kita tak boleh buat macam itu,” katanya selepas melawat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Muhammad Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Adib, 24, cedera parah termasuk di tulang rusuk dipercayai selepas dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil pada pagi Selasa.

Sambil menyifatkan perusuh berkenaan mempunyai niat untuk membunuh, perdana menteri berkata polis akan menjalankan siasatan yang rapi bagi mencari pesalah insiden berkenaan.
“Kita sedang berusaha sebaik mungkin mencari pelakunya. Kita tidak ada banyak bukti tapi polis akan buat siasatan rapi bagi mencari siapa yang melakukan tindakan berkenaan.
“Kita boleh ada demonstrasi tapi mestilah secara aman… ini bukan demonstrasi. Ini adalah sesuatu untuk membunuh orang dan mereka datang dengan parang dan segala senjata,” katanya.
Adalah dipercayai bahawa Mahathir merujuk kepada syarikat Ayala Corporation yang beribu pejabat di Filipina, yang adalah pemilik majoriti MCT Bhd, yang pada asalnya memiliki One City Development Sdn Bhd, pemilik tanah di mana kuil itu terletak.
Pagi ini, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata siasatan polis mendapati syarikat pemaju One City telah mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh kuil itu bagi tujuan mengawalnya sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis pada pagi 26 November.
Muhyidin juga mendedahkan bahawa siasatan polis mendapati sebanyak RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan tersebut untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

"Lebih kurang 50 orang diupah untuk melakukan kerja itu yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300," katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa dua peguam yang bekerja untuk One City Development Bhd adalah antara 21 individu yang ditahan oleh polis semalam.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga membuat tuduhan serupa, sambil menambah bahawa One City Development berhenti bercakap dengan kerajaan Selangor selepas MCT diambil alih oleh Ayala Corp.
"Setiap kali pejabat menteri besar cuba menghubungi pengerusi, dia hanya menjawab dengan teks yang meminta kami berbincang dengan pasukan undang-undang mereka. Dengan kata lain, mereka mengatakan 'kami mempunyai penghakiman persetujuan, jadi bercakap dengan peguam kami,' 'katanya. .
