Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini menafikan dakwaan kecederaan anggotanya Muhammad Adib Mohd Kassim ekoran dilanggar jentera bomba, seperti yang didakwa.

Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid berkata individu dalam klip video yang tersebar - yang memaparkan seorang lelaki berpakaian sut kalis api berjalan di belakang jentera bomba yang sedang mengundur - bukan Adib, tetapi seorang lagi anggota bomba.

"Ada bukti menyatakan Adib yang dilanggar? Individu yang berdiri (dalam video itu) bukan Adib, tetapi Mohd Hazim Mohd Rahimi.

"Orang itu (Hazim) ada di sebelah saya ini," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Hamdan berkata lapan anggotanya yang berada di tempat kejadian juga boleh membuktikan perkara itu.

Hazim (duduk, dua dari kanan)

"Saya sendiri tak berani buat kenyataan selagi mereka (anggota bomba) tak tunjukkan bukti. Jangan buat kenyataan tak berasas...Orang yang buat kenyataan tak berada di tempat kejadian masa itu," katanya lagi.

Hari ini penjaga kuil Sri Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, S Ramaji menafikan Adib yang kini dirawat di IJN cedera akibat dipukul perusuh pada awal Selasa lalu.

"Jentera bomba itu mengundur agak jauh dan melanggarnya (sehingga menyebabkan Adib terjatuh) di atas kereta di belakangnya," kata Ramaji dalam sidang media, sambil menunjukkan rakaman video tersebut.

Sebelum ini Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dilaporkan ditarik keluar daripada kenderaan bomba dan dipukul, menyebabkannya patah tulang rusuk dan mengalami kecederaan dalaman.

Beliau kini beransur pulih dan tidak lagi berada di tahap kritikal.

Mohamad Hamdan berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut yang menurutnya tidak berasas.

"Kita akan buat laporan polis untuk melindungi anggota-anggota kita. Bukan cara bomba nak langgar anggota yang pergi sama-sama tugas dengan kita,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS