Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang akan ditubuhkan perlu diberi kuasa penguatkuasaan atau ia akan gagal, kata petugas khas Majlis Peguam Yang ditugaskan mengkaji IPCMC.
Petugas khas itu, bersama beberapa pihak lain seperti Suhakam, Suaram, Amnesty International, dan Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Proham), mengadakan mesyuarat berhubung perkembangan IPCMC di Kuala Lumpur hari ini.
Perwakilan daripada badan penyelaras IPCMC, Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) turut hadir.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada September lalu bahawa EIAC akan diperkasakan dan ditukar menjadi IPCMC.
"Masalah dengan EAIC ialah, ia hanya boleh membuat cadangan. Ia tiada kuasa penguatkuasaan untuk mengambil tindakan kepada pesalah. Ia boleh memberi cadangan kepada jabatan berkaitan tapi ia tiada kuasa penguatkuasaan. Jika jabatan berkaitan tidak mengambil tindakan, tiada apa EAIC boleh buat.
"Jika tidak diberikan kuasa penguatkuasaan, ia akan gagal. Jika IPCMC yang baru yang akan ditubuhkan merupakan model sama EAIC yang sia-sia dan tidak berkuasa, IPCMC akan gagal," kata pengerusi petugas khas itu, M Ramachelvam (gambar) di sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Beliau menambah, kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pesalah perlu diberikan kepada IPCMC seperti dikemukakan dalam rang undang-undang Suruhanjaya Diraja pada 2015.
Bagaimanapun, kata Ramachelvam, pihaknya difahamkan bahawa EAIC sudah menyerahkan rang undang-undang baru kepada GIACC.
"Kami dimaklumkan oleh GIACC bahawa pasukan perundangan mereka sedang meneliti rang undang-undang itu... Kita sudah meminta GIACC untuk berunding secara langsung dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Peguam, Suhakam, pertubuhan hak asasi, Suaram, Amnesty International," katanya.
Ramachelvam menekankan bahawa draf rang undang-undang pada 2005 merupakan draf yang perlu diambil kira dan menjadi asas kepada rang undang-undang baru.
Setiausaha Agung Proham, Ivy Josiah, juga berharap agar undang-undang baru itu akan didraf berdasarkan draf rang undang-undang pada 2005.
"Rang undang-undang 2005 dirangka dengan kerja keras. Kita sudah ke pelbagai negara untuk mengkaji pelbagai mekanisme berhubung badan yang memantau polis. Kita faham bahawa EAIC kini mempunyai rang undang-undang sendiri namun kita harap draf itu dirangka berdasarkan rang undang-undang 2005.
"Kita perlu melihat pada rang undang-undang baru ini dan lihat sama ada ia mencerminkan rang undang-undang yang kita rangka," kata Ivy yang merupakan anggota Suruhanjaya Diraja.
Usul memperkenalkan IPCMC dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan.
