Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ahmad Razif seperti baru keluar gua'
Diterbitkan:  Nov 30, 2018 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah menafikan dakwaan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bahawa wakil rakyat PH di negeri itu yang kini memegang jawatan di peringkat pusat senyap berhubung isu royalti minyak Terengganu.

Menurut Raja Bahrin, beliau antara pemimpin terawal mendesak kerajaan pusat agar tidak mendiskriminasikan Terengganu dalam isu tersebut.

"Persoalan yang dibangkitkan beliau mengenai peranan semasa yang dimainkan oleh wakil Terengganu dalam kerajaan persekutuan menampakkan bahawa ADUN Seberang Takir seolah-olah baru keluar dari gua dan tidak mengikuti perkembangan semasa.

"Malahan saya terlebih awal membuat kunjungan hormat kepada menteri besar Terengganu pada 23 Mei yang lalu bagi menawarkan kepakaran untuk sama-sama membangunkan Terengganu.

"Isu royalti juga sepatutnya tidak lagi berbangkit memandangkan Menteri Besar Terengganu sendiri mengakui bahawa wang tersebut telah pun mulai dibayar sebanyak RM300 juta secara terus kepada Kerajaan Terengganu," kata Raja Bahrin menerusi satu kenyataan.

Semalam Sinar Harian melaporkan kenyataan Ahmad Razif yang mempersoalkan kelantangan Raja Bahrin yang juga bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu setiap kali persidangan Dun Terengganu sebelum ini mengenai isu royalti minyak di samping bekas Adun Batu Buruk dan Adun Bandar.

“Seingat saya, setiap kali dewan bersidang pasti soal isu ini (royalti) dikemukakan oleh mereka malah ada yang sekarang sudah menjawat jawatan timbalan menteri dan sudah pasti mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Kerajaan Pusat

“Maka peranan mereka ini amat kita perlukan dalam memastikan hak kita mendapatkan duit yang sedia ada ditambah dengan royalti duit ihsan kepada hasil di Bertam,” katanya.

'Ahmad Razif sepatutnya malu'

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata kenyataan Ahmad Razif mengenai isu medan minyak Bertam juga melucukan kerana ia telah dibangkitkan berkali-kali sepanjang beliau menjadi menteri besar Terengganu.

"Malahan janji beliau dalam Sidang DUN Terengganu pada tahun 2017 yang mahu mengumumkan status medan minyak tersebut pada bulan Januari 2018 yang lalu juga tidak ditunaikan sehinggalah kerajaan beliau tersungkur dalam PRU yang lalu," katanya.

Raja Bahrin berkata Ahmad Razif sepatutnya malu kerana Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan tidak mendiskriminasikan Kerajaan Terengganu dalam isu royalti walaupun berbeza parti politik.

"Ini tidak seperti tindakan Kerajaan Pusat bagi penggal 1999/2004 yang diterajui oleh parti beliau Umno Barisan Nasional yang bertindak menafikan hak royalti Terengganu kepada kerajaan negeri yang dipimpin PAS pada ketika itu.

"Saya hairan bagaimana ADUN Seberang Takir tanpa segan silu cuba menjadi wira dalam isu royalti sedangkan parti beliau sendiri yang pernah bertindak primitif dan tidak menghormati semangat federalisme. Janganlah menjadi seperti ‘ayam berkokok ekor bergelumang najis’.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS