Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Papagomo sudah, Waythamoorthy bila lagi?
Diterbitkan:  Nov 30, 2018 5:29 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Selepas Papagomo disahkan ditahan polis, beberapa pemimpin muda Umno hari ini dilaporkan tampil membela exco pemuda parti itu.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki misalnya mempersoalkan kebijakan kerajaan menahan Papagomo tetapi pada masa sama membiarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy bebas.

Kata Asyraf Wajdi kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang dengan bertindak secara saksama.

“Papagomo ditahan selepas polis menerima 17 laporan ke atasnya.

"Bila pula nak tahan Waythamoorthy yang menerima lebih 150 laporan polis?" katanya seperti dipetik portal Umno online hari ini.

Papagomo - atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris - ditahan polis selepas memuat naik video berunsur hasutan di laman sosial.

Dia yang terkenal sebagai pemblog dikatakan cuba menaikkan sentimen orang ramai dan tindakan menahannya, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, diambil sebagai langkah mengelak masalah lain timbul.

Isu itu timbul berikutan kemelut sebuah kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang turut menyaksikan berlaku rusuhan serta kecederaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Kata Asyraf Wajdi seorang lagi pemimpin PH yang perlu diambil tindakan seperti Papagomo ialah exco Selangor V Ganabatirau yang didakwanya mengapi-apikan sentimen perkauman.

Malah katanya Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning itu juga sudah diadukan kepada polis.


Baca Bawah dari tahap 'lobak' pun ada...


“Sesiapa saja yang disyaki memainkan sentimen perkauman dan melakukan perkara membelakangi prinsip perundangan dan perlembagaan wajar disiasat secara adil tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka,” katanya yang sebelum BN kalah kepada PH pernah menjadi timbalan menteri.

Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin, pula menganggap Papagomo tidak wajar ditahan kerana dia cuma menyeru kepada penyatuan umah.

“Tetapi malang sekali seruan itu dianggap sebagai menghasut kepada perkauman,” katanya.

Menurut Shahrul Nasrun tindakan pihak berkuasa membiarkan Waytha Moorthy bebas menunjukkan ada pihak yang berada di atas undang-undang.

“Kononnya no body above the law (tiada sesiap mengatasi undang-undang), tapi rupanya Waythamoorthy above the law (di atas undang-undang). Belum ditahan walaupun ada beratus laporan polis,” katanya.

Lihat Komen
ADS