Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO gesa kerajaan panggil duta India isu 'dakwaan liar' kuil Seafield
Diterbitkan:  Dec 1, 2018 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kementerian luar memanggil duta India ke Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan seorang pemimpin politik negara itu yang didakwa memburukkan Malaysia.

Ia berkenaan dakwaan Parti Rakyat Hindu Arjun Sampath yang mendakwa ada wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Dalam suratnya kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Tamil Nadu 28 November lalu, pemimpin parti sayap kanan itu mendakwa kuil itu sudah pun dirobohkan dan polis hanya membiarkan "penghasut mengelar leher wanita dan kanak-kanak".

“Semua itu disiarkan di media sosial yang menggemparkan jiwa jutaan Tamil Hindu serata dunia,” katanya seperti dipetik FMT.

Mengecam dakwaan itu, Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Sampath sengaja mahu mengerukan keadaan di Malaysia dengan mengambil kesempatan terhadap isu kuil itu.

Mohd Azmi

"Terlalu banyak fakta salah dan tokok tambah yang dikeluar oleh beliau yang berpotensi menegangkan suasana di Malaysia," kata Azmi.

Justeru, kata Azmi, Menteri Luar Saifuddin Abdullah perlu memanggil duta India ke Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap apa yang menurutnya percubaan pihak luar untuk menjejaskan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

"Kenyataan Sampath jelas melampau batas terutama mengenai status penganut Hindu di Malaysia dengan mendakwa seolah-olah mereka ditindas di Malaysia.

"Menteri luar perlu bertegas menyatakan pendirian bahawa kenyataan oleh mana-mana pihak luar yang tidak berasas dan boleh menjejaskan keharmonian kaum adalah dibantah keras," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata akan menyampaikan bantahan kepada kerajaan India dan pesuruhjaya tinggi India di Malaysia berhubung kenyataan itu.

“Adalah jelas adegan ‘tokok-tambah’ seperti yang digambarkan oleh ahli politik tersebut benar-benar salah dan melanggar hal-hal negara lain yang berdaulat. Ini sama sekali tidak boleh diterima," katanya lagi seperti dipetik FMT.

Beliau juga berharap tiada pihak yang akan mengambil kesempatan daripada kenyataan itu untuk mencetuskan perseteruan.

Lihat Komen
ADS