Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

EKSKLUSIF | Sejumlah 52 kakitangan kerajaan yang menjalani kursus khas untuk menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) tiba-tiba digugurkan daripada program itu Jumaat lalu, kata sumber.

Pegawai PTD sering dianggap sebagai pemain utama dalam perkhidmatan awam yang bertanggungjawab membantu melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Mereka yang ditamatkan dari kursus itu termasuk empat pegawai kontrak, yang dikatakan secara automatik kehilangan pekerjaan, manakala yang lain diarahkan untuk kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.

Sumber memberitahu Malaysiakini penamatan itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus untuk program Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Awam (DPA khas).

"Peserta diberitahu pada Selasa bahawa gred lulus (untuk kursus itu) telah dinaikkan dari B kepada A minus, sebelum mereka masing-masing diberikan surat penamatan pada hari Jumaat, dan diberitahu untuk mengosongkan asrama mereka di Intan pada hari Ahad.

"Ini dibuat ketika mereka sudah berada di bulan ketujuh program yang telah bermula pada 16 April," kata sumber yang tahu mengenai program tersebut.

Kursus diploma selama 10 bulan itu melibatkan sejumlah 86 peserta.

Menurut sumber, mereka yang ditamatkan dari kursus itu terdiri daripada 31 wanita dan 21 lelaki, lima daripada mereka pemegang PhD dan 20 daripada mereka adalah pemegang ijazah sarjana.

Difahamkan peserta dimaklumkan bahawa pendaftaran mereka telah ditamatkan setelah mereka menjalani peperiksaan pada awal hari itu.

Sumber juga menyatakan di bawah program tersebut, gred B dicapai dengan mendapat 3.00 mata gred penilaian, B+ (3.33), manakala A- ditetapkan pada 3.67.

Bagaimanapun, sumber mendakwa para peserta tidak digugurkan kerana prestasi akademik mereka.

"Mereka yang digugurkan mendapat CGPA (Purata Nilai Gred Kumulatif) sekurang-kurangnya 3.6, dengan GPA tertinggi di antara mereka adalah 3.95.

"Kebanyakan mereka berjaya mencapai gred A, tetapi mereka digugurkan kerana modul 'sahsiah'," kata seorang sumber, sambil menambah hanya beberapa peserta mendapat B+ untuk penilaian akademik mereka.

Sekurang-kurangnya tiga daripada sumber memberitahu Malaysiakini bahawa modul 'sahsiah' adalah penilaian subjektif, dan mendakwa peserta tidak pernah dimaklumkan mengenai prestasi mereka sehingga diberitahu supaya meninggalkan kursus itu .

Menurut dokumen program yang dilihat Malaysiakini, modul 'sahsiah' memiliki penilaian yang sama berat dengan akademik, yang mengkehendaki peserta menduduki peperiksaan dan memantau pencapaian mereka.

Ia menyenaraikan empat kategori di bawah modul sahsiah: penilaian pemudahcara, disiplin, 'force ranking', dan modul pengukuhan diri.

Satu sumber menambah para peserta diterima masuk ke program tersebut setelah direkomendasi jabatan masing-masing, dan selepas menjalani siri ujian yang ketat.

Satu lagi sumber yang rapat dengan beberapa peserta yang digugurkan berkata mereka terkejut dengan keputusan itu kerana hampir menamatkan program berkenaan.

"Sejak permulaan kursus, mereka diberitahu bahawa markah lulus ditetapkan pada B. Tetapi sekarang, mereka tiba-tiba diberitahu bahawa ia dinaikkan kepada A-, dan tidak lama selepas itu mereka terima surat penamatan mereka.

"Para peserta merasakan ini tidak adil kerana ia dinaikkan ketika mereka hampir selesai menjalani program, lebih buruk lagi empat pegawai kontrak, kini tiada kerja," kata sumber itu.

Jangkaan yang lebih tinggi

Malaysiakini menghubungi Pengarah Intan, Suriani Ahmad, yang mengesahkan peserta berkenaan telah ditamatkan dari kursus dengan mengatakan perkara itu diputuskan oleh JPA.

Beliau juga berkata peningkatan gred lulus bagi kursus itu diputuskan secara bersama oleh Intan dan JPA. 

Suriani berkata keputusan itu dibuat kerana jangkaan lebih tinggi diberikan memandangkan peserta mempunyai pengalaman bekerja.

"Sebabnya adalah kerana mereka menyertai (DPA khas) secara lateral. 

"Kalau (keadaan) normal, lantikan PTD ni melalui kursus JPA, dah habis tu dia dapat gred 41. Tapi mereka ni istimewa, sebab tu dipanggil DPA khas.

"Mereka terus masuk dari gred 41 ada, (gred) 44, 48, 54 dan Jusa juga ada. Jadi ia luar biasa, lain daripada yang lain. Jadi expectation lebih tinggilah, sebab mereka ni dah bekerja," katanya.

Jusa merujuk kepada pangkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Keputusan tak memuaskan

"(Mereka) patutnya dari awal tunjukkan (kerja) keras nak dapat A. Masa kita beritahu keputusan mereka tu bulan 2 tahun lepas. Kita dah beritahu markah, tapi mereka tak capai apa yang kita nak.

"(Kita) dah beritahu kena perbaiki lebih baik, beritahu dari awal result tu kurang memuaskan sebenarnya," kata Suriani.

Beliau menambah meskipun memang benar peserta pada awalnya diberitahu bahawa gred lulus adalah B, namun adalah hak institusi itu untuk melakukan perubahan.

"Masa mula-mula ya betul, tapi Intan dan JPA kami ada hak untuk mengubah markah lulus. Kami ada hak untuk buat sedemikian," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS