Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Entah daripada siapa yang empunya kepala maka lahirlah watak tiga sekawan dalam hampir semua cerita buku bahasa Melayu sekolah rendah beberapa dekad dulu.

Ke hulu dan ke hilir, apa pun naratif yang mahu dipaparkan, mereka bertiga itulah yang ada. Ali, Ah Kau dan Ramasamy. Dan uniknya mereka hidup aman damai dan tidak ada sikap saling wasangka.

Untuk kanak-kanak yang bersekolah di kampung Melayu watak Ah Kau dan Ramasamy itu dirasakan langsung tidak penting.

Tapi Ali, Ah Kau dan Ramasamy itu jugalah yang perlu dihadap setiap hari apabila ada mata pelajaran bahasa Melayu di kelas.

Di sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan di Teluk Intan, pada suatu ketika waktu rehatnya adalah biasa-biasa saja. Sekolah itu dihadiri pelajar pelbagai kaum.

Tapi pada waktu rehat itu, Iskandar dan lima enam orang rakannya akan berjalan di sekeliling kawasan sekolah tidak seperti orang lain. Mereka berjalan bergandingan bahu membentuk seakan satu tembok yang agak panjang. Dan agak mengganggu juga.

Sesiapa yang ada di laluan mereka, kenalah ke tepi kalau tidak mahu di langgar.

Iskandar berjalan dengan lima enam orang rakannya. Ada Cina, ada Melayu, ada India dan - kalau tidak silap - ada juga Sikh.

Jangan jadi buah catur

Bukan tidak ada sentimen perkauman ketika itu. Ada, tetapi terkawal. Macam angin sepoi-sepoi bahasa, sesekali ia datang tapi tidak meninggalkan bekas apa-apa kecuali sedikit 'rasa'.

Ia bukan sesuatu yang janggal. Di mana-mana pelajar adalah manusia yang hidup dengan aman dan harmoni. Tidak ada masalah besar untuk mereka berbeza bangsa, agama atau budaya.

Kemudian datanglah politik dan ahli politik. Mereka hadir bersama api untuk menyelinap di dalam sekam. Perlahan-lahan dan hampir-hampir tidak dilihat kecuali asap yang sesekali naik ke langit.

Justeru dunia dalam sekolah tinggal menjadi makmal yang gagal.

Perarakan sempena sambutan hari kebangsaan

Politik dan haiwannya datang dalam keadaan kita tidak ada banyak pilihan. Mengambil tahu dan bersikap, atau tidak diendahkan lalu menjadi buah catur.

Politik seumpama perniagaan, cuma ia menjadikan sentimen sebagai antara komoditi paling mudah untuk ditawarkan. Beruntunglah kepada sesiapa yang waras, tetapi getir pula untuk politik yang rasional.

Silat dalam politik akan menjadi mudah menggoda dan mendapat tepuk sorak jika ia disulam dengan sentimen. Seperti rancangan realiti TV yang boleh membuat penonton menangis teresa-esak apabila ada pesertanya diberikan beg untuk balik kerana gagal menambat hati juri, politik pun begitulah.

Abu Jahal cakap jawa

Mainkan sentimen - dan dalam konteks masyarakat Melayu - gunalah istilah yang nampak kearaban sedikit sebanyak, maka akan cairlah hati sesiapa saja yang mendengar.

Hal itu bukanlah sukar untuk difahami dalam masyarakat yang masih ada menganggap apa saja ayat menggunakan bahasa Arab sebagai mulia.

Dalam fikiran mereka gamaknya Abu Jahal dan Abu Lahab dulu melawan Tuhan dan menghasut orang ramai supaya menolak Islam dengan berbahasa Jawa.

Disebabkan sentimen itu komoditi yang mudah laris tidak hairanlah ia yang dijaja ke sana dan ke sini. Dengan sedikit kemahiran berpidato, jeritkan bahawa orang Melayu terancam, orang Cina mengancam dan orang India menunggu masa untuk menerkam.

Adakah orang Cina jahat?

Ya, memang orang Cina jahat. Cuma bukan Cina saja jahat. Melayu pun ada yang jahat, India, Sikh, Kadazan, Melanau dan semua bangsa ada orang jahat.

Tapi itu tidaklah bermakna semua orang Cina, Melayu, India, Sikh, Melanau dan seterusnya itu jahat-jahat belaka.

Terlalu ramai Cina yang baik, sama macam teramat ramai Melayu, India, Sikh dan bangsa-bangsa lain yang budiman. Kejahatan dan kebaikan tidak ditentukan oleh bangsa.

Sebab itu tidak banyak perangan yang lebih keji daripada ahli politik yang berteriak di sana sini memainkan sentimen perkauman dan bungkam apabila ada ketegangan kaum berlaku.

Pedulilah sama ada mereka itu berseluar pendek atau berjubah, peniaga petai atau pengkuliah popular, anak penoreh getah atau anak mufti. Semuanya keji jika lidah mereka menuturkan dusta dan menjaja kebencian.

Kerana itu pada zaman serba pantas dan sedap 'membawang' ini cabaran hidup jauh lebih sukar berbanding dulu. Selain terpaksa menapis bisikan syaitan, hasutan manusia yang bertopeng pelbagai itu pun harus diperhatikan dengan teliti.

Dan pakaian semata-mata sudah tentu tidak lagi boleh dipercayai untuk menentukan kebersihan hati pemakainya. Jika pakaian boleh menjadi neraca benar salah seseorang, bayangkan kalau Ali yang dulu berkawan dengan Ah Kau dan Ramasamy berjumpa Abdullah bin Ubay.

Kita sudah penat menjadi bahan hasutan ahli politik yang meniupkan kebencian. Atau paling kurang, diajar menjadi sentiasa curiga.

Tapi tentang duit Tabung Haji dan 1MDB, tak apalah. Kita reda dan berpuas hati sajalah buat masa ini.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berkawan dengan semua bangsa, kecuali 'bangsa pembaris'.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS