Polis Kelantan berjaya merampas sejumlah 2.5 tan bekalan ketum yang dibawa masuk menggunakan lori ke negeri itu, dalam kejadian di Kampung Batu Hitam, Tanah Merah, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Azmi Abu Kassim berkata kegiatan itu terbongkar selepas seikat daun ketum ditemui di atas jalan raya oleh dua anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah yang meronda di kawasan itu.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang, dua anggota tersebut segera meminta bantuan sokongan sebelum sepasukan polis mengejar lori tiga tan jenis Isuzu dinaiki dua lelaki.
"Pihak polis terpaksa mengejar suspek yang enggan berhenti dan cuba memecut laju sejauh dua kilometer sebelum kita berjaya menahan mereka.
"Pemandu lori berusia 34 tahun manakala kelindannya merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
"Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan, kita menemukan 120 bungkusan hitam mengandungi daun ketum seberat 2.5 tan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Akta Racun 1952
Azmi berkata, nilai rampasan keseluruhan daun ketum kira-kira RM75,000 dengan anggaran nilai pasaran semasa sekilogram daun ketum dijual pada harga RM30.
Tambahnya, dua suspek yang ditahan itu dikatakan mengambil upah RM3,000 membawa bekalan ketum dari Kedah.
"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tersebut mempunyai rekod lampau dan positif dadah masing-masing jenis methamphetamine dan benzodiazepine.
"Siasatan lanjut mendapati dua suspek ini mengaku dibayar upah sebanyak RM3,000 bagi satu perjalanan untuk mengambil daun ketum ini dari Sik, Kedah dan dibawa ke Pasir Puteh.
"Daun ketum ini dipercayai untuk pasaran Pasir Puteh dan polis menahan reman suspek selama empat hari sehingga 2 Disember mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952," jelasnya.
