Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 9 Disember (Ahad) sempena berlangsungnya himpunan bantah onvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu ini di Kuala Lumpur.

Perkata itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, cuti peristiwa itu diberikan bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat Kelatan untuk menghadiri perhimpunan besar-besar yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

"Kita harap cuti peristiwa ini memberi ruang untuk lebih ramai rakyat Kelantan pergi ke ibu negara bagi menghadiri perhimpunan yang dibuat secara besar-besaran itu.

"Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghadiri himpunan tersebut bagi menzahirkan kecintaan kepada negara Malaysia dengan mesej yang jelas supaya keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dijaga dan dipelihara.

"Kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa untuk negeri Kelantan pada 9 Disember 2018 (Ahad) bagi memberi ruang kepada rakyat Kelantan menguruskan perjalanan dengan lancar dan selamat ketika menghadiri himpunan tersebut.

"Berhati-hati di jalan raya dan jagalah keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Terdahulu, penganjur himpunan tersebut iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) memberi gambaran bahawa himpunan itu yang mendapat sokongan padu daripada Umno dan PAS akan diteruskan meskipun kerajaan sudah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Jelas penganjur, himpunan itu diadakan sebagai tanda kesyukuran dan memastikan tiada lagi percubaan untuk meratifikasi konvensyen berkenaan di masa hadapan.

Program itu sebelum ini bagaimanapun disaran supaya tidak diteruskan kerana dikhuatiri bakal menimbulkan keadaan tidak diingini.

Antara yang menyuarakan kebimbangan itu adalah beberapa mufti, termasuk  Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad yang menggesa agar himpunan itu  tidak diteruskan, memandangkan keadaan semasa yang agak tegang.

Beliau berkata penerusan himpunan itu hanya mengundang "hal yang tidak baik", selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Sebagai rekod PAS khususnya berpengalaman menyertai himpunan aman besar-besaran dan berjaya membawa jumlah penyokong yang ramai seperti beberapa siri himpunan Bersih yang diadakan pada zaman pemerintahan BN sebelum ini.

Sementara itu Ahmad berkata, beliau berharap perhimpunan itu berjalan dengan aman dan peserta dituntut menjaga akhlak.

"Insya-Allah, kita akan berhimpun secara aman dan berakhlak mulia tanpa sebarang bentuk provokasi serta mengikut segala panduan dan arahan pihak berkuasa," katanya.


Lihat Komen
ADS