Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
TMJ: Pulau Kukup akan jadi tanah kesultanan
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini tampil menjelaskan bahawa pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi adalah supaya membolehkannya diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan.

Baginda juga memberi jaminan bahawa Pulau Kukup, kawasan hutan paya bakau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, akan terus menjadi sebagai sebuah taman.

"Sebelum ini, beberapa taman negara telah diswastakan. Di Johor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai visi yang berbeza. Untuk melindungi semua taman negara, baginda bertitah bahawa semua taman negara akan diubah menjadi tanah kesultanan.

"Ini diamalkan di United Kingdom di mana semua taman milik Mahkota (Raja). Walau bagaimanapun, ini tidak mengubah status, dasar dan penggunaan taman berkenaan. Ia terus kekal sebagai status sebuah taman negara," kata baginda dalam beberapa siri tweet hari ini.

Selain Pulau Kukup, lima taman negara yang dimiliki oleh Johor adalah: Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.

Pulau Rawa, yang terletak di Taman Laut Sultan Iskandar, dimiliki oleh keluarga diraja Johor.

Pulau Kukup yang terletak di Pontian sudah menjadi taman negara sejak 1997.

Warta pembatalan itu dilaporkan dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 September lalu dan hanya dikeluarkan pada 25 Oktober.

Rancangan akan datang terhadap kawasan itu belum diketahui.

Selain dikenali dengan hutan paya bakaunya, sebahagian besar kawasan pulau itu tidak berpenghuni.

Lihat Komen
ADS