Terdapat satu tawaran sembilan angka berhubung proses bidaan kapal layar mewah, Equanimity superyacht, yang bernilai berbilion ringgit.
Ini didedahkan dalam satu kenyataan media oleh 1MDB dan pasukan perundangan kerajaan persekutuan selepas pertemuan mereka dengan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Admiraliti Khadijah Idris.
“Mahkamah kini sedang meneliti pelbagai aspek berhubung tawaran yang diterima selepas bidaan ditutup pada 28 November lalu.
“Fasa mandatori penjualan sudah dilakukan, kini kita sedang menunggu arahan daripada mahkamah untuk memuktamadkan jualan kapal itu tidak lewat daripada 31 Mac, 2019.
"Ada tawaran harga sembilan digit yang dibuat dan jika mahkamah merasakan harga yang ditawarkan berpadanan dengan nilai kapal berusia empat tahun setengah itu, kebenaran menjual akan diberikan,” petik kenyataan itu.
Hadir di mahkamah adalah peguam S Sitpah dan Jeremy Joseph yang mewakili kerajaan dan 1MDB serta peguam kanan persekutuan Alice Loke.
Sitpah memberitahu Malaysiakini bahawa terdapat bidaan tulen tetapi mereka tidak boleh mendedahkan jumlah berkenaan atau negara asal pembida.
"Terdapat pembida tulen," katanya menjawab soalan persepsi oleh beberapa pihak bahawa tidak ada pihak yang membida.
Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kerajaan dan Kumpulan 1MDB adalah pemilik benefisiari kapal Equanimity.
Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Teck Jho atau Jho Low.
